Wednesday 24 April 2013

Dalam Hati Ada Dia [Bab 15]


15


AKU HANYA MENGIKUT langkah kaki Fahim keluar dari bangunan pejabat dengan pelbagai soalan di dalam kepala (Dah cair rasanya otak aku ni, dari semalam asyik duk berfikir aje). Telinga yang tertutup di sebalik selendang kuning lembut yang aku pakai hari ini menangkap pelbagai cerita dari mulut Fahim. Sesekali dia berpaling ke kiri, memandang aku dan bertanya itu ini dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
            Aku hanya mengangguk dan menggeleng walaupun aku sendiri tak tahu pokok pangkal cerita.
            Kepala masih berfikir tentang satu perkara.
            Satu perkara yang hampir membuat kepala aku pecah.
            Nick. Dah. Kahwin?
            Kalau nak dikira, apa yang peliknya pun. Bukannya Nick pernah buka langkah bunga-bunga nak ayat aku. Bukannya Nick pernah melutut merayu and say I love you.
            Selama ni, aku aje yang masak megi, makan sendiri.
            Nick Dollah tak suka aku pun, kan? Dan, kalau dia dah ada isteri pun, logiklah.
            Tapi yang jadi masalah utamanya, apahal pulak isteri dia nak serang aku?
            Sebab dia nampak Nick makan dengan aku? Sebab dia nampak Nick tunggu komuter dengan aku?
            Kalau aku yang jadi isteri dia, aku pergi simbah air cili tu dekat muka Nick sendiri. Bukannya muka aku ni.
            Heh.
            “Wan, jom.” Suara Fahim tiba-tiba menerpa telinga. Aku mengangkat muka dari lantai simen memandang wajahnya yang tersenyum di muka pintu restoran. Sebelah tangannya menahan pintu kaca dari tertutup dan mempersilakan aku masuk.
            Okay. Benda ni pelik. Awkward.
            Kau dah kenapa Wanda? Dah lupa yang Fahim tu pernah hancur relaikan hati kau? Hah?
            Hadui.
            Tapi kira okaylah dari makan dengan suami orang.
            …dan bila pulak Wanda Nurhannah pandai keluar lunch dengan lelaki ni? Bukan ke dulu aku selamba aku bungkus nasi dekat kedai Kak Yati aje kalau tiap kali lunch. Paling hebat bergaya pun, aku ikut Munie pergi makan dekat Kenny Rogers dekat tingkat bawah tu. Ataupun paling malas, aku bancuh milo aje buat alas perut.
            Aku rasa, aku dah kena sampuk dengan alien dua tiga minggu ni. Tak pun, aku sebenarnya ada split personality. Kejap boleh jadi Wanda selekeh. Kejap boleh jadi Wanda yang buat orang lain tergugat (contohnya isteri Nick tu).
            Haih.
            Stop it lah Wanda. Jangan mengarut.
            Aku menarik nafas berat sambil mengikut langkah Fahim ke arah meja untuk dua orang.
            Aku menarik kerusi kayu yang dicat putih bersih sambil memerhati setiap inci restoran. Selesa.
            Itu yang pasti. Lagipula, tak ramai pun manusia yang memilih untuk lunch dekat sini. Tak silap aku, tak sampai sepuluh orang pun.
            Dekat hujung sudut sana, ada empat orang yang dah hampir selesai makan, dua orang di tengah-tengah kedai yang mungkin baru sampai dan seorang lagi, dekat sebelah meja aku dan Fahim. Tengah baca surat khabar gaya pakcik-pakcik dalam drama TV dengan secawan nescafe (kot) panas yang masih berasap di atas meja.
            “Nak makan apa?” Fahim menghulurkan buku menu yang sudahpun tersedia di atas meja. Aku menyambut sambil membaca sekali lalu. Tak rasa pun nak makan nasi.
            Tak rasa nak makan mee, bihun kueytiaw jugak.
            “Bagi mushroom soup jelah.” Aku membuat keputusan sambil menutup buku menu.
            Kening Fahim terangkat tinggi mendengar jawapan aku. Pelik ke kalau aku order mushroom soup? Rasanya ada je dalam menu tadi. Murah lagi, tak sampai pun RM4.00.
            “Soup je?”
            Aku angguk perlahan.
            “Nanti you kurus lagi macam dulu.”
            Aku mengeluh perlahan. “Im…” nada suara aku berbaur amarah.
             “Okay…okay.”
            Aku dah cakap yang aku tak suka kalau dia ungkit hal dulu-dulu. Nampak muka dia aje dah cukup buat perasaan aku terseksa, inikan pulak nak sembang pasal kisah ‘kami’ dulu-dulu.
            Fahim mengangkat tangan dan terus membuat pesanan. Elok aje pelayan kedai berlalu dari meja membawa pesanan kami, handphone Fahim tiba-tiba berbunyi kuat. 
            “Wan, would you mind if I took this? Mungkin ada benda penting...”
            Aku mengangkat bahu. “Sure.”
            Fahim terus bangkit dari meja dan menyusun kaki keluar dari restoran. Aku hanya mengekorinya dengan pandangan mata.
            Menu yang masih tersadai di atas meja aku buka tanpa tujuan.
            “Minum sup tak kenyang, tahu?”
            Erk? Aku terus mengangkat muka dari buku menu dan berpaling ke kiri dan ke kanan. Mencari suara yang menegur tiba-tiba.
            “Tahu ke tidak ni?” tu dia. Suara beku tadi sekali lagi menerpa telinga. Aku memandang dia yang bersandar malas di atas kerusi sambil melipat surat khabar dan diletakkan di sebelah cawan nescafe.
            Aku menelan air liur beberapa kali.
Nick!
Dia ke ‘pakcik tua’ yang baca surat khabar tadi?
Macam mana boleh tak perasan ni?
Aku mencuri pandang ke luar restoran. Fahim masih leka dengan telefon bimbit di telinga tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Mata aku dilarikan pula ke segenap isi restoran. Kut-kutlah ada ‘isteri’ Nick yang  ada sekali, duk mengintai gerak geri laki dia.
Okay, macam tak ada.
Pelayan tadi tiba-tiba datang meletakkan sup cendawan aku ke atas meja. Aku senyum mengangguk, berbahasa.
Aku mengalihkan pandangkan pula kepada Nick yang sedang menghirup nescafe (yang dah suam) tanpa menghiraukan kejadian sekeliling. Serius, Nick ni tak tahu ke yang isteri dia duk ikut dia siang malam? Heh.
“Kalau setakat nak keluar makan, order tu je baik tak payah.”
Baru aje aku mencapai sudu untuk menghirup sup yang baru sampai, suara beku Nick menjamah telinga. Berdesing telinga aku buat beberapa saat. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum membawa sup ke mulut.
“Nak buat macam mana, Cik Senah dah pandai dating sekarang...”
Aku menahan hati. Sabar Wanda. Sabar. Dia tu dah ada isteri yang meroyan tak tentu masa, sebab tu la kut perangai dia pun beku macam ais ketul.
“Tak makan pun tak apa, asalkan boleh pandang muka, kan?” Dia menyambung lagi. Telinga aku semakin panas. Aku memandang Fahim yang masih berbual di luar. Ni dah jadi kes lupa daratan. Bukan ke dia yang ajak aku keluar makan tadi, dah tu tinggalkan aku jadi tunggul kayu dekat sini hirup sup yang tak berapa panas pekej kena perli dengan Nick Dollah sekali gus.
Hadui.
“Awak dah kenapa?” aku bersuara perlahan. Pasangan yang berada tidak jauh dari tempat duduk aku memandang sesaat sebelum menyambung makan. Pelik agaknya bila nampak aku bercakap seorang diri.
“Tinggalkan sup tu, ikut saya.” Nick tiba-tiba bingkas dari kerusi sambil mencapai handphonenya dari atas meja. Note2 yang dipegang tadi dimasukkan di dalam saku seluar. Muat pulak.
Aku mendongak tinggi memandangnya yang sudah berdiri. Dahlah tinggi dia hampir 180cm, mahunya leher aku cramp sebab kena dongak macam ni. “Nak pergi mana?” kening aku terangkat tinggi.
“Kalau tak nak kena buang kerja, ikut.” Tu dia. Suara arahan berbaur amaran dia dah keluar. Dia terus berlalu melepasi meja aku tanpa menunggu jawapan.
Dia tahu kut aku akan ikut.
Dia tahu kut yang aku takut sangat kehilangan kerja.
Kalau hilang kerja, macam mana nak jadi kaya?
Perlahan-lahan aku bangun juga dari kerusi sambil mengerling Fahim yang masih bersembang di luar restoran. Sikitpun dia tak perasankan Nick yang lalu di belakangnya.
Khusyuk sangat. Dah dapat projek juta-juta agaknya.
Aku mencapai beg tangan di atas meja dan terus mengekori langkah Nick keluar dari restoran. Kejap lagi lah aku mesej Fahim. dia pun bersembang tak ingat aku, jadi salah ke aku keluar tak ingat dia?
Heh.
Hampir lima minit aku mengekori Nick tanpa suara. Tiba-tiba Nick membelok masuk ke dalam kedai serbaneka. Aku hanya menunggu dia diluar dengan perasaan berbaur. Rasa menyesal pulak ikut dia tadi.
Tak nak kena buang kerja punya pasal, terpaksalah aku relakan hati.
Selang beberapa minit, Nick keluar dari kedai dan menghulurkan aku sebungkus roti Gardenia Butterscotch. 
Perlahan-lahan aku menyambut hulurannya sambil memandang tuan punya badan dengan dahi berkerut. Dia masuk kedai tu semata-mata nak belikan aku roti je? 
Elok aje roti bertukar tangan, dia terus menyambung perjalanan. Nick masih diam membisu sepanjang perjalanan sehinggalah dia berhenti di suatu tempat yang tak pernah pun aku perasan kewujudannya selama ni.
Tak jauh pun dengan bangunan pejabat aku.
Ataupun aku yang tak peka dengan keadaan sekeliling? Iyalah, selama ni, pergi kerja, keluar makan depan pejabat, balik kerja.
Mana aku nak tahu dekat sini ada taman mini super comel siap dengan air terjun sekali?
“Wanda, kenapa awak dengan dia?”
“Apa dia?” automatik dahi aku berkerut lebat mendengar soalan dia. Dah dengar dengan jelas sebenarnya, tapi aku rasa macam tak percaya. Belumpun aku sempat duduk di atas kerusi batu yang diletakkan di sepanjang taman, Nick dah keluarkan soalan random nak mati.
Dah kenapa? Kalaupun aku dengan Fahim, kenapa? Rasanya tak bagi masalah dekat dia pun, kan?
            “Kenapa awak dengan dia?” sekali lagi dia mengulangi soalan sama. Dia berpeluk tubuh di atas kerusi sambil memandang aku tajam.
            Aku membetulkan letak selendang yang senget di tiup angin tengah hari. Nasib baiklah cuaca tak berapa nak panas. Kalau tak, orang yang lalu lalang dah cop kami ‘sewel’ sebab duduk berjemur tengah-tengah taman.
 “Apa maksud awak?” aku membuang pandang pada air yang turun dari batu buatan di tengah-tengah taman. Tenang.
“Muhammad Fahim. Dia takkan dapat buat awak gembira.” Dia bersuara rendah sambil menutup kedua-dua belah matanya sambil meluruskan kaki ke hadapan. Gaya rileks habis. Gaya taman ni dia punya.
Aku mencari peluang merenung wajahnya, mencari makna kata-kata yang baru dia keluarkan tadi.
            Okay. Ini pelik. Satu, dia ingat nama Fahim.
            Dua, siapa dia nak judge Fahim macam dah kenal empat-lima tahun?
            “Siapa cakap?” Walaupun aku sikitpun tak ada rasa nak ‘dating’ dengan Fahim seperti yang dia fikir tapi aku rasa tak adil kalau dia nak kata Fahim macam-macam. Macam dia dah kenal sangat dengan Fahim. Macam dia dah simpan segala cerita Fahim dalam poket.
            “Saya dah banyak kali meeting dengan dia. Dia okay. Baik. Cara dia kerja pun, okay.” Nick bersuara tenang. “Tapi awak perlu lebih dari tu. You deserve someone better.”
            Aku memandang dia tak percaya. Sungguh, aku tak agak yang Nick akan campur urusan peribadi aku. Takkan baru keluar dua tiga kali, Nick dah rasa dia ada hak untuk arah aku itu ini.
            Ya, dia orang penting syarikat aku, dan itu tak bermakna aku kena ikut segala kata dia (Walaupun aku dah ter ‘ikut’ dia datang sini tadi). Sikit lagi aku rasa nak cubit telinga sendiri sebab senang sangat ikut kata.
            “Dah tu, kalau saya tak sesuai dengan dia, saya sesuai dengan siapa? Suami orang?”
            Nick membuka mata dan memandang aku dengan senyuman sinis. Ya, aku perli kau wahai Nick Dollah. Sila terasa.
            “Sebenarnya, saya rasa awak salah.” Aku membetulkan suara, nak bagi nampak yakin. “Fahim baik, dan saya rasa tak ada yang lain kut yang lagi baik dari dia.” Bukan aku nak bela Fahim sangat sebenarnya. Dan gila ke? Aku takkan terjatuh dekat Fahim balik.
            Ever.
 Cukuplah sekali dia pijak-pijak hati aku dulu.
            Tapi aku sengaja nak sedarkan Nick. Apa, dia ingat dia kaya boleh nak pasang dua tiga? Lepastu, isteri pertama dia meroyan tak tentu hala simbah aku suka-suka jiwa.
            Dia cakap semua ni sebab tak nak aku dengan Fahim, kan?
            Dia cakap semua ni sebab dia nak aku melangut tiap-tiap kali lunch makan dengan dia, kan?
            Dan yang dapat balanya, aku.
            Aku nampak Nick menggeleng laju. “Awak perlukan orang yang boleh buat awak gembira, bahagia, bukan baik je.” Matanya masih tepat memandang aku. “dan saya rasa awak sendiri pun tak tahu apa yang awak buat sekarang ni.”
            Aku bingkas bangun dari kerusi. “Kenapa awak pulak nak sibuk fikir hal saya?” suara aku sedikit meninggi. Tak puas hati.
            Tiba-tiba suasana terasa sunyi. Nick pandang aku, dan aku memandang anak matanya beberapa saat sebelum mengalihkan pandangan ke rumput di kaki.
            “Saya pun harap saya tahu jawapan untuk tu. Saya pun tak tahu kenapa.  Mungkin sebab awak je yang pandang saya macam manusia biasa. Mungkin jugak sebab awak je yang tak berpura-pura bila ada di depan saya.” Dia mengeluh berat. “Mungkin jugak sebab awak dah bagi ni pada saya,” dia mengangkat handphone di tangan menunjukkan phone charm yang masih kemas tergantung.
            Bukan aku bagi, okay. ter ‘bagi’. Berapa kali nak cakap!?
            “Mungkin sebab awak dah buat saya ketawa.” dia menambah tanpa memandang aku yang masih berdiri tegak di hadapan.
            Aku buat dia ketawa? Dia nak kutuk aku lagi pasal lari dengan skirt ke?
            “Saya dah anggap awak er…kawan. Jadi, saya hanya rasa nak ambil berat pasal…kawan.”
            “Oh,” aku terdiam buat beberapa saat. Kawan. Ambil berat. Hati yang panas terasa sejuk kembali. Nick Rayyan ambil berat pasal aku sebab dia anggap aku kawan.
            Bibir aku terus mencipta senyuman berperisa gula. Terharu sebenarnya.
            “Tambah-tambah pulak, saya rasa orang yang tinggalkan teman dia waktu makan bukanlah orang yang patut dijadikan suami.”
            Senyuman aku terus mati. Nick tak patut kutuk Fahim macam-macam hanya kerana aku tolak untuk keluar lunch dengan dia hari ni (dia ada pelawa ke?). Apa-apa pun, Nick aka da hak nak cakap macam tu.
            “Awak tahu tak, saya harap sangat saya tak bagi awak phone charm hati tu dulu.” aku bersuara keras. “Awak jangan nak berlagak kenal siapa saya lebih dari orang lain…”
            “Saya rasa saya kenal awak lebih dari orang lain,” Nick memotong.
            “Apa dia?”
            “Mungkin saya kenal awak lebih daripada orang lain.”
            Biji mata aku hampir terkeluar memandang Nick yang masih memeluk tubuh di atas kerusi. “Awak tak kenal saya Nick Dollah! Jangan ingat awak ingat nama saya, awak dah kenal saya lebih daripada orang lain!”
            “Saya tahu awak takkan bersama Fahim.”
            “No, you don’t!” dah marah-marah macam ni, mulalah slang minah salleh aku keluar.
            “Yes, I do.” Dia tersenyum senget sambil memandang aku yang sudah hampir berapi.
            “Awak tak tahu., saya mungkin akan kahwin dengan dia!”
            Nick tergelak kuat. Aku nampak dia menggeleng beberapa kali sambil ketawa ibarat aku baru aje buat audition Raja Lawak depan dia.
            Ya, aku tahu aku dah keluar dari limit. Mana pernah aku terfikir nak kahwin dengan Fahim? Nak terima Fahim kembali pun dah mustahil. Tapi aku tak ada pilihan. Aku tak boleh biar Nick anggap yang dia kenal aku.
            Dia tak kenal aku.
            “Kahwin dengan dia?” soal dia sambil memandang aku dengan ketawa yang masih bersisa.
            “Kenapa tak? Dia baik, handsome, kemas dan kaya,” sengaja aku tekankan perkataan ‘kemas’ tu. “…dan, ini hal peribadi saya! Awak tu bos saya je, dan kita kenal  tak sampai pun sebulan. Jangan nak masuk campur lebih-lebih sebab ni bukan urusan awak pun!”
            Ketawa Nick tadi terus terhenti. Dia memandang aku tajam tanpa kata. Aku menelan air liur berkali-kali (Sungguh, aku berani-berani takut aje sebenarnya).
            Tiba-tiba dia bingkas berdiri dari kerusi sambil menyeluk tangan ke dalam kedua-dua belah saku.
            “Ya,” nada beku dia kembali. “Hal peribadi awak bukan urusan saya…saya dah melampaui batas.” Dia menarik nafas dalam-dalam. “Saya minta maaf.”
            Aku kaku sendiri bila mengesan nada suara Nick yang berubah. Nada suara kecewa ke? (Kenapa dia nak kecewa?)
            “Nick, saya tak bermaksud… er..”
            “Tak, betullah. Awak betul. Saya tak patut pun campur urusan awak.”
            Rasa bersalah tiba-tiba menjengah. Mungkin aku tak patut cakap macam tu tadi. Nick anggap aku macam kawan…dan dia hanya nak ambil berat hal kawan-kawan.
            Tapi, dia dah beristeri. Dia patut ambil berat lebih pada isteri dia. Bukan aku.
            “Sorry bawak awak datang sini, tahu balik sendiri, kan?”
            Aku mengangguk lemah sebelum memandang dia yang melangkah meninggalkan aku sendiri di tengah-tengah taman. Mulut terasa ringan untuk memanggil dia kembali. Tapi, apa yang aku nak cakap? Jangan pergi? Tolong campuri urusan aku lagi?
            Aku hanya mampu memandang langkah dia yang menjauh dan hilang di tengah-tengah orang ramai. Tanpa sedar, aku mengeluh berat.
Aku yang tengking dia…
            Tapi kenapa aku yang rasa kecewa…?


***bersambung lagi***

19 comments:

Anonymous said...

entah2 itu ex si fahim kut.tanyalah kat fahim kisah dia sebelum korang bertemu semula.jgn main teka2.kesian nick dollah.mungkin dia yg jadi mangsa salah faham awak tu wanda.

puteri said...

Ya... Betui kata abg dollah, fahim x layak Jd suami awak.....plzzzz senah celik mata skit.....jgn terus benggonggggggg!!!!!! Huh..


Abg dollah....ohsem

NurAtiZa said...

Ala siannya lah dekat Nick Dollah...-_-#

strawberry.chocolate81 said...

haaaiiihhhhh....x ske la perasaan cam ni....

Anonymous said...

hadui..

umie said...

Nick dah merajuk... *frown*

Gee said...

hai cik senah, siasat lah dulu..(rasanya cik senah tu salah faham..)

Unknown said...

adoiii!! senah oii.. awat la buat lagu tu.. cian nick dollah..

Unknown said...

OMG apa salahnya berterus terang tanya.... awak dah kawin ke? ...... kata jenis terus terang.... arrrrrr sakit jiwa la jenis pompuan macam niii


Oooppppp terlebih sudah

Kak Sue said...

Senah cuba fikir kenapa Dollah cakap Fahim x layak jadi suami Senah..... Sebab Fahim dah beristeri lah Senah..... kasihan Dollah x pasal-pasal kena marah.... dah Dollah anggap awak kawan cuba lah berterus terang dengan Dollah masalah seorang perempuan yangcakap Senah kacau suami dia....

R'hanida said...

ala nick dah merajuk dgn Senah laaaa...
siyan btol kt dollah...
senah ni salah faham duk kata nick dah kawin...tah pape lar...
*pepagidahemo* wakakaka

cyah said...

Senah....senah....sian kt dollah

Anonymous said...

weiiiii Senah...g le siasat siapa nick dolah siapa fahim. jgn wat rumusan sendiri jerrrr. lemas arr cam nie. dah tu nak kuciwa kuciwa lak...ape hal?

maaf...tetiba marahkan senah
-pn mal-

Unknown said...

"nk buat mcm mana cik senah dh pandai dating.." and..en. dollah dh mula jeles..lalala..cian nick, kecik ati ngan wanda..

aneesanuraim said...

hehehe..nick dollah dh jeles la tu...sebab tu mcm terasa bila cik senah tersound dia...tp fikir2 balik..kalo jadi senah pun mesti rasa pelik .tetiba ada sorang mamat yg x berapa rapat suka mengekori dan ambik berat psl kita..bleh jdi rimas gak..ni pendapat sy je la..

nurilsuhaila said...

aduh lemasnya dengan senah ni..terus terang kan senang....

aisyah said...

Sian nick..ko ni senah a.k.a wanda..suka2 je buat camtu..ntah2 fahmi tu yg laki org

Anonymous said...

nak sambungan Dollah & Senah, buley!!! timakaseh....

Nana Mohd Yasin said...

sad @ sedey.....