Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 10]

 [Bab 10]


AKU INGATKAN hujan ribut hingga ke petang, rupa-rupanya panas menjengah juga. Sedang aku serabut dengan kenangan dulu dan masalah sekarang, telefon bimbit aku berbunyi nyaring.
Nama Paan yang tertera pada skrin membuatkan bibir aku tersengih tanpa paksaan.
“Nani.” Dia bersuara sebaik sahaja talian disambung. “Kau dekat mana? Rumah?”
“Cafe. Kenapa?”
Tutt...tutt...
Kening aku terangkat tinggi. Kenapa pulak tiba-tiba Paan putuskan talian? Ataupun, dia tak ada kredit?
“Nani.”
Sikit lagi aku nak terlompat dari kerusi bila ditegur dari belakang. Paan tersengih sambil menarik kerusi di depan aku. “Dah agak dah kau datang sini.”
Aku mencebik sesaat. Telefon bimbit yang masih berada di dalam genggaman aku letakkan ke atas meja.
“Kenapa?”
“Kejap, aku nak order air.” Dia terus bangun ke kaunter. Ajim yang turut mengenali Paan tersengih melayan. Aku hanya mengekor gerak geri Paan menuding jadi pada menu yang tertera pada dinding belakang kaunter seolah-olah jari dia sampai terus ke atas sana.
Hanya beberapa minit membuat pesanan dan bayaran, Paan kembali ke meja aku.
Sorry, aku lambat.”
Kening aku terangkat tinggi. Lambat? Aku ada janji nak jumpa dia ke harini? Macam tak ada.
“Ana suruh temankan dia pilih power bank dekat Plaza Alam Sentral tadi. Lepas tu nak makan KFC pulak. Itu yang tak sempat nak tanya kau apa yang jadi tadi.” Panjang lebar dia bercerita.
Aku angkat tangan kanan tinggi.
“Kejap, kejap. Apa yang kau nak cakap sebenarnya ni? Nak cakap yang kau baru balik dating?”
Beberapa kertas A4 yang dipegangnya terus melayang ke kepala aku. “Kau ni betul la...”
“Sakitlah!” Perlahan-lahan aku mengusap kepala dek pukulan kertas daripada Paan tadi. “Kan aku dah cakap jangan main kepala.”
“Kau tu la, lembab!”
Aku mencebik.
“Apa yang aku nak cakap,” kata-katanya terhenti bila Ajim merapati dan meletakkan latte ais ke atas meja. Sempat dia senyum selapis kepada Ajim yang tersengih dari tadi.
“Okey, sambung.” Ajim mengenyitkan mata dan terus berlalu dari situ.
Tumpuan aku kembali pada Paan di depan. Dia mencapai gelas yang dietakkan Ajim tadi dan terus menghirupnya senafas.
“Dr. Diana cakap apa tadi? Aku harap dia tak tengking kau macam dia buat dekat Qayyum.”
Oh... pasal Dr. Diana ke.
Aku melepas nafas perlahan.
Kisah Qayyum, budak satu kelas dengan aku dan Paan waktu semester empat dulu kembali menjengah kepala. Qayyum pun macam aku jugak. Selalu gagal dalam ujian. Mungkin lebih teruk.
Elok saja lepas dia kena tengking dengan Dr. Diana dalam kuliah depan semua orang, dia terus hilangkan diri.
Rupanya, dia dah berhenti sambung degree. Dan sejak itu jugaklah Dr. Diana makin diam dalam kuliah. Hanya sekali-sekala dia menegur itu dan ini.
Tapi kalau aku jadi Qayyum, aku pun malu. Bukan itu sejenis penderaam mental ke? Kena marah dan direndah-rendahkan depan orang ramai.
“Kau takut aku give up macam Qayyum?” Aku menarik sengih kepada Paan.
“Jangan kata kau nak give up. We have come this far! Kita ada satu semester je lagi.” Anak mata Paan mencerun memandang aku. Serius.
“Taklah. Aku tak give up.” Aku menjawab perlahan. Cuma... payahnya nak kejar semua benda yang aku dah terlepas sebelum ni. Keluhan terkeluar tanpa dipinta.
Sempat ke aku belajar untuk cover pelajaran yang berbulan-bulan aku tinggal? Final exam pun tak lama dah.
“Macam ni, lepas ni kau kurangkan sikit berniaga online tu. Study dulu.” Berhati-hati Paan menuturkan. Dia tahu sangat yang aku pantang kalau orang kaitkan perniagaan aku dengan belajar.
Walaupun aku tahu, aku lebih suka online dan jual barang berbanding belajar. Aku tahu.
Tapi aku sendiri yang tak nak mengaku.
“Lepas exam nanti kau boleh sambung balik. Sebulan je, okay?”
Aku mengeluh perlahan. Sebulan. Kalau aku kurangkan aktiviti jualan aku dalam masa sebulan, mana aku nak dapat duit belanja?
“Kau dengar tak aku cakap ni? Aku ni nak tolong kau. Tak naklah konvo nanti aku sorang-sorang. Kau masih lagi duduk dalam kelas.”
“Nak sangat aku extend, kan?”
Sekali lagi gulungan kertas yang berada di atas meja melayang ke kepala.
“Paan!” Dia ni kan, aku dah cakap aku tak suka!
“Aku cakap ni sebab aku tak nak kau extend la makcik oi!” Suara Paan naik senada. Spontan aku ketawa bila melihat dia mencuka.
“Lepas ni, belajar dengan aku. Aku pun tak faham kenapa kau tak faham subjek tu. Bukannya payah pun.”
“Nak cakap aku bodoh la ni?”
“Bukan bodoh. Malas je lebih. Kalau tak pandai, tapi rajin belajar dengan kawan-kawan, dengan lecturer, yang bodoh pun boleh bijak. Ini tak...” Paan mula membebel.
“Ye la.. ye la. Aku tahu aku ni pemalas. Raksasa malas memang suka dekat aku, nak buat macam mana?”
“Kalau macam tu, biar aku jadi Ultraman. Biar aku ‘fire’ segala jadah raksasa yang ada dekat kau.”
Aku senyum sendiri. Oh Paan, kenapa kau baik sangat dengan aku? Patutlah Ana tu cemburu.
“Boleh pulak kau senyum.” Paan menarik sengih. “Ajim cakap kau kena sumpah dengan jin masam. Sampaikan satu cafe ni suram.” Dia ketawa mengekek.
Terus bulat mata aku memandang Ajim di kaunter kopi. Amboi, suka-suka hari saja dia bahan aku!
“Jangan stress ‘kay.” Paan menghirup baki kopi sebelum bingkas dari kerusi. “Nanti study week aku ajar kau mana yang kau tak faham.”
“Semua?”
Dia angguk sebelum menjawab, “Semua.”
“Tapi aku ada subjek repeat jugak.”
“Calculus?”
Giliran aku pula yang mengangguk. Bukan matematik satu campur dua, tapi Advanced Differential Equation. Ini kali ketiga aku ambil subjek tu. Tapi masih, aku tak boleh nak faham. Matilah aku kalau gagal lagi. Boleh kena tendang keluar uni kot!
“Kacang je. Nanti aku tolong.” Dia sengih senget. Kertas yang dibawanya tadi dicapai dengan sebelah tangan.
“Kalau aku berkepit study dengan kau study week nanti, Ana okay ke?” soal aku akhirnya. Itu yang aku tengah fikirkan sebenarnya. Nanti sebab aku, tak pasal-pasal Ana mintak putus lagi.
Ana tu bukannya boleh kira.
“Nanti aku ajaklah dia study sekali. Apa susah. Dia kan kawan kau jugak.” Paan angkat kening. “Okaylah. Dah nak maghrib pun. Aku chow dulu.”
Memanglah kawan. Tapi bila masuk bab Paan, dia seolah-olah nak lawan aku.
“OK.” Aku menjawab pendek. Dia mengangkat sebelah tangan tanda ‘selamat tinggal’ dan terus keluar dari cafe. Elok sahaja kelibat Paan hilang disebalik pintu, aku membuang pandang ke arah jam bercorak abstrak pada dinding cafe. Dah hampir pukul tujuh petang.
Aku menarik nafas dalam-dalam sambil bersandar pada kerusi sebelum meluruskan kedua-dua tangan ke atas. Malasnya nak balik rumah sewa!
“Buah hati datang, kemain sengih. Tadi aku nak tegur pun tak kasi.” Kerusi yang diisi Paan tadi berganti badan. Tri meletakkan kedua-dua tangannya ke atas meja sambil memandang aku lama. “Period ke apa?”
“Bukan ke tadi awak tak nak pun cakap dengan saya. Lupa?”
Aku nampak dia terdiam sendiri. Spontan bibir aku menarik sengih senget. Nak tegur aku rupanya, tapi tak nak mengaku.
“Kau ni orang ketiga eh?”
Kening aku bertaut. Apa dia cakap?
“Orang ketiga?”
“Kau, budak lelaki tadi, dan awek dia.” Dia tersengih-sengih dia atas kerusi.
Tak habis lagi ke topik ‘Kawan Lelaki Aku Ada Awek’ ni?
Ada ke panggil aku ‘orang ketiga’. Walaupun Paan tu kawan lelaki aku yang paling rapat, tak adalah aku nak buat jahat pisahkan dia dengan Ana tu.
Aku tahu Paan sayang gila dekat Ana.
Kalau tak, takkan waktu dia cerita Ana minta putus itu hari muka dia pun dah ada ura-ura nak menangis?
Kan?
Okey, boleh tolak part yang dia cakap dia nak pinang aku. Aku tahu dia gurau je masa tu.
Mungkin dia bergurau.
Mungkin.
“Awak tak ada kerja eh? Menyibuk je.”
“Bang!”
Suara Ajim dari kaunter kopi membantutkan niat Tri yang ingin membalas. Dia menoleh ke arah Ajim yang baru saja meletakkan dua gelas kopi di atas bar.
“Hantar ni jap.” Ajim sengih lebar. “Meja enam.”
Tri terus saja bangun dari kerusi menuju ke arah Ajim. Tumpuan aku kembali pada laptop yang sudahpun berada dalam keadaan ‘sleep’. Laju saja tangan menutup rapat komputer riba itu. Segala buku yang berselerakan dia atas meja aku kutip dan sumbat ke dalam beg.
Melihatkan meja kosong tanpa barang, aku melepas nafas perlahan. Thanks to Paan, hilang sikit serabut aku.
Waktu aku berkira-kira untuk bangun, segelas iced americano diletakkan di atas meja bersama dulang kecil berwarna coklat tua.
Aik, aku tak order pun?
Aku bawa mata ke meja sebelah. Tri yang meletakkan kopi itu tadi sibuk mengelap meja pelanggan sebelah. Nak tak nak, aku tarik sengih juga.
Nampak je ego setinggi alam, tapi baik pulak nak sejukkan muka masam aku dengan iced americano ni. Favourite aku pulak tu!
Tanpa menunggu lama, tangan kanan aku terus mencapai gelas kopi tadi dan aku mulakan hirupan pertama. Nikmatnya!
“Eh, kenapa kau minum?”
Hirupan aku terhenti. Kening aku terangkat tinggi memandang kerutan pada dahi dia.
Kenapa?
Bukan ke kopi ni untuk aku?
“Kau ni...” Tri mengendurkan suara. Pelahan-lahan dia menggelengkan kepala. Aku masih lagi terpinga-pinga sendiri, tak faham. Aku nampak Ajim mengekek ketawa dari kaunter kopi. Makin pelik aku dibuatnya.
Dan sebaik sahaja aku menoleh ke arah meja sebelah, dua orang pelanggan yang aku agak sepasang suami isteri memandang aku lama.
Aku pandang pula dulang kecil di atas meja. Dan kali ini, mulut aku ternganga bila terfikirkan sesuatu.
Barulah aku tahu yang aku sekarang tengah minum kopi yang dipesan oleh pelanggan meja sebelah!
Aduhai.
Yang dia letak dekat atas meja aku ni kenapa?
“Sorry, kak. Abang. Kami buat yang lain.”
Aaaaa...
Malunya! Boleh tak aku nak ghaib sekarang?
Dengan memikul beg laptop sederhana besar, aku membawa kopi yang sudah pun tinggal separuh menghampiri Ajim dan Tri di kaunter kopi. Baki iced americano yang aku minum tadi terus diletakkan di atas kaunter. “Kenapa awak tak bagitahu tu bukan saya punya!?” Suara aku ditahan-tahan. Geram.
Buat malu aku je!
“Yang kau minum kenapa? Kau tak order air pun tadi, kan?” Tri juga mengawal suara. Masing-masing berdiri menghadap Ajim yang tangkas membancuh kopi.
Memanglah aku tak order. Tapi aku ingatkan...
 “Tu ada lagi separuh. Jangan nak membazir.” Sambung dia lagi.
Aku mencebik lebar dan terus menghirup kopi tadi sampai licin. “Dah, pergi kaunter sana. Saya nak bayar. Tak cakap, mana la nak tahu!” Aku masih lagi membela diri.
“Kan aku letak dengan dulang. Kau tak nampak ke sebesar-besar dulang tu? Aku tumpang letak sebab nak lap meja sebelah tu je.” Tanpa menunggu lama, dia berjalan ke kaunter bayaran. “Yang kau tu, selamba pulak pergi minum.”
Aku menggigit bibir. Menyesal pulak aku minum. Dahlah kopi ni hampir berharga tujuh ringgit. Bulan ni pulak aku kena kurangkan berniaga.
Memang pokai la aku sebulan ni.
“Kau ingat aku yang bagi kopi tu untuk kau, eh?”
Aku diam. Ketawa Ajim makin kuat kedengaran.
Aku nampak Tri senyum selapis sambil menekan papan kekunci mesin duit di depannya. Dan aku tahu senyuman dia perisa perli.
“Kau ingat aku yang belanja? Na Ni... Na Ni...”

Hish, dahlah! Aku tahu aku yang perasan. Menyesal sungguh aku minum!

No comments: