Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 9]




[Bab 8]

Okay. Aku silap. Mungkin duduk dengan dua orang manusia yang bernama Tri dan Adi ni tak adalah menyampah mana pun sebenarnya. Elok je orang ramai tengah hari tadi, Adi mula mainkan peranan.
Tegur gadis sana sini. Dengan berbekalkan ayat manis dan rupa yang boleh tahan kacak dia tu, para gadis pula tersenyum-senyum melirik dan terus berhenti depan kedai.
Lepas rasa ‘tester’ di atas meja, dia orang beli. Ada yang sempat membelek selendang dan baju dekat penyangkut besi sebelah meja. Ada jugak yang jeling katalog perfume yang terbuka dan hidu tester sambil buat order.
Dan yang paling penting, licin terus tiga tray congo bars yang ada!
Tri pula, sepanjang jualan dia hanya banyak diamkan diri. Kadang-kadang saja dia tegur aku sepatah dua. Kalau tak dia hanya bersembang dengan Adi.
Budak perempuan dekat sini lawa-lawa la.
Semua macam model la.
Tapi kalau nak dikira, bagus jugak Adi ikut sekali harini. Tak adalah keadaan dekat booth aku ni sedingin kutub utara. Dia rajin melayan rungutan Tri. Dia juga tak jemu melayan leteran aku. 
Hari dah beransur petang. Siap berkemas untuk balik ke cafe, aku keluarkan telefon bimbit. Hajat dihati nak minta tolong Sirah ambilkan.
Rasa menyesal pulak tinggalkan motosikal dekat kedai tadi.
“Beb, kau dekat mana?” soal aku sebaik sahaja talian bersambung.
“Rumah.” Sirah menjawab sepatah.
“Kenapa?”
“Tak ada,” Aku terdiam sesaat. Kalau dekat rumah, macam serba salah pulak nak minta dia datang sini. “Aku ingatkan nak minta kau ambil aku dekat dataran depan kolej foodcourt ni...”
“Tak payah. Kau datang dengan van ni, balik dengan van jugakla.” Tri mencelah tiba-tiba. “Tak payah nak susahkan orang.”
Automatik kening terangkat tinggi melihat dia yang sedang bersandar pada van. Semua barang yang sudahpun selamat disusun ke dalam van.
“Sekarang ke?” soal Sirah di hujung talian.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Tri masih pandang aku, menunggu aku tamatkan panggilan.
“Tak apa la beb. Aku tumpang van cafe.”
Hmm, okay.”
Talian diputuskan.
“Adi mana?”
“Dia terus balik dengan kereta dia.” Pintu van dibuka dengan sebelah tangan. Belum sempat aku menjawab, cermin pintu di sebelah penumpang diturunkan sehingga habis. “Cepatlah naik, takkan nak tunggu aku bukakan pintu kot.”
Aku mencebik selebar-lebarnya sambil masuk kedalam van mini tadi. Cakap tu tak boleh nak baik-baik sikit.
Elok saja aku memakai tali pinggang keledar, lagu rock kapak mula menyapa telinga. Laju aku berpaling ke arah Tri di sebelah. Takkan dekat cafe nak pasang dalam kereta pun nak pasang lagu ni?
“Awak boleh mati eh kalau tak dengar lagu-lagu ni sehari?”
“Apa?” soal dia kembali. Van dibawa keluar dari petak parking.
“Lagu jiwang karat ni, tak boleh ke tunggu awak sorang-sorang baru pasang?”
“Kenapa?”
“Saya tak suka.” Bukan aku tak suka sebenarnya. Tapi lagu-lagu zaman ni mengingatkan aku pada seseorang.
Seseorang yang dah hilang lama dari hidup aku.
“Aku peduli apa kalau kau tak suka.” Dia menjawab dengan sengihan. “Van aku, kan?”
“Van company.” Aku membetulkan
“Company Along aku.” Dia tak nak kalah.
“Still. Not yours.” Aku pun tak nak kalah. Dia menjengilkan mata dan aku pura-pura membuang pandang keluar tingkap.


UNTUK HARI KEDUA, Tri sempat membakar lagi beberapa loyang congo bars bahana kepopularan benda tu semalam.
Aku sendiri tak percaya yang semua congo bars yang kami bawa semalam habis licin. Siap ada yang nak datang ke cafe sebab nak tempah banyak-banyak.
Sama seperti semalam, Adi datang lagi untuk membantu (atau nak cuci mata sebetulnya). Hari Ahad, tak ramai sangat pun yang ada di dataran. Rata-rata lebih suka habiskan masa dekat panggung wayang ataupun pusat karaoke ataupun jalan-jalan dekat mall.
Tahu sangat.
Sebab aku pun pelajar yang suka kan hiburan bila waktu hujung minggu. Tipikal pelajar. Sama macam aku jugak.
“Nani, dari kau mengelamun dekat situ, apa kata kau belikan kami teh ais ke, milo dinasor ke.” Adi tiba-tiba memecah sunyi. “Dan, kalau jumpa awek cun macam Nora Danish boleh jugak kau bungkus ikat tepi.”
Niat hati aku yang suci lagi murni untuk bangun waktu dengar ayat pertama dia terus terbantut bila dengar ayat kedua.
Spontan kepala digeleng beberapa kali.
Memang tak ada kerja lain agaknya si Adi ni. Nak usha awek cun saja. Heh.
“Hah, betul jugak tu. Aku nak teh o ais.” Tri yang dari tadi khusyuk dengan handphone dari tadi menyampuk tiba-tiba.
Pandangan aku beralih kepada Tri.
“Apa?” Soal dia bila nampak aku menjeling tajam.
“Korang saja, kan? Nak membuli je kerja.”
Ketawa Adi dan Tri bergabung serentak.
“Kau paling muda. Biasalah tu kalau budak-budak kena buli beli air dekat kedai.” Tri menjawab dengan sisa ketawa yang masih belum hilang. Tak lama kemudian, tumpuannya kembali pada handphone di tangan.
Ayat dia tu...
Ayat dia tu macam biasa aku dengar.
Kebetulan?
Aku menarik nafas pelahan. Kaki dipaksa juga keluar dari booth dan melangkah ke kedai air yang berdekatan.
Oh kenangan.


Tahun Akhir Diploma

han_nani: umur berapa?
M_K: 25
han_nani: ohh dah tua
M_K: kamu?
han_nani: baru 21
M_K: Muda lagi. Kalau dekat sekolah boleh buli pergi beli air dekat kantin. Budak..budak.
han_nani: ada ke...
han_nani: kalau saya budak, awak tu pakcik. >_<



ISNIN.
Jika sebelum ini perkataan Monday Blues itu tak pernah langsung bagi kesan pada aku, tapi hari ni lain pulak jadinya.
Hari Isnin ini akan aku ingat sampai bila-bila.
Habis sahaja kuliah tengah hari, nama aku dipanggil ke depan. Beberapa mata mula memandang dengan tanda tanya. Aku faham pandangan perli beberapa pelajar lain. Aku boleh tangkap pandangan simpati daripada Paan.
Dan aku boleh baca pandangan pelik daripada Jiha dan kawan-kawan yang lain. Dengan muka tebal, aku melangkah ke depan dan terus mengikuti Dr. Diana ke bilik dia yang terletak tidak jauh dari dewan kuliah.
Lama dia pandang aku sehinggalah dia meletakkan kertas ujian aku di atas meja.
Melihatkan markah yang tertera, aku boleh agak apa yang Dr. Diana nak cakap. Matilah kau Nani.
“Hannani, kalau awak nak lulus final exam, awak kena belajar betul-betul. Siapkan semua assignment dan tutorial saya. Kalau awak masih macam ni, saya tak akan teragak-agak untuk gagalkan awak final exam nanti.” Dr. Diana memandang aku tajam.
“Sekarang ni, carrymarks awak memang sangat teruk. Dua test awak failed. Saya betul-betul harap awak siapkan semua kerja yang saya bagi untuk tampung markah final exam awak. Kalau tak, awak memang tak ada pilihan lain selain jumpa saya lagi semester depan.”
Aku masih menunduk, pandai kasut sendiri. Sikitpun aku tak berani nak bertentang mata dengan Dr. Diana.
Ya, semua orang tahu Dr. Diana pensyarah yang berpangkat doktor paling muda di unversiti ni. Dan pastinya, dialah yang paling tegas dan serius.
Aku pun tahu.
Tapi, aku bukan sengaja nak gagal dalam subjek dia. Subjek dia susah kot! Dah hampir hujung semester pun aku masih tak faham bab satu Financial and Accounting ni.
Kenapalah ada subjek akaun untuk pelajar engineering ni?
Hampir setengah jam juga aku tercongok di depan meja Dr. Diana sebelum aku dibenarkan keluar. Aku memandang markah ujian kedua yang berada di tangan sekilas. 15%.
Test pertama 20%.
Test kedua makin teruk. Manalah Dr. Diana tak mengamuk.
Aku mengeluh berat. Perlahan-lahan aku memasukkan kertas ujian tadi ke dalam beg sandang. Langkah aku dilajukan ke lif dan terus ke parking motosikal.
Aku taknak repeat subjek ni semester depan.
Aku taknak duduk untuk subjek yang sama dua kali berturut-turut. Penat. Siksa. Kena masuk kelas budak junior pulak tu!
Entah kenapa, motosikal yang aku bawa terus melencong ke Iris Cake House. Aku menolak lemah pintu kaca dan terus mengambil tempat di meja biasa.
“Hei kau...”
Aku berpaling ke arah suara yang menegur. Tri terus terdiam bila pandang muka tak ada mood aku.
Sekali lagi aku mengeluh. Cukuplah. Aku tak ada mood nak gaduh hari ni.
Tanpa menghiraukan dia, segala barang yang aku bawa tadi aku letakkan di atas meja. Bersepah terus meja kayu berwarna hitam tu.
“Jangan cakap dengan aku.” Tangan cepat mengeluarkan komputer riba dan buku yang ada. Headphone diletakkan pada telinga dan terus aku pandang skrin laptop.
“Aku pun tak nak cakap dengan kau.” Teragak-agak dia menjawab.
Aku buat tak dengar. Tangan sibuk memilih senarai lagu di dalam folder.
“Kenapa tu?” Tri pandang Ajim yang setia di kaunter kopi.
Aku nampak Ajim memandang aku lama. Akhirnya dia angkat bahu sebelum menjawab, “Entah.”
Lagu dipilih secara rawak. Volume dibuka sehabis tinggi. Jangan kacau aku. Aku memang tak ada mood.


TUMPUAN AKU terhenti bila melihat telefon bimbit menyala menandakan ada WhatsApp baru. Laju saja jari menekan ‘open’.

‘Salam sis, kenapa barang saya tak sampai lagi ye? Dah seminggu saya tunggu. Sis poskan ke tak barang tu?’

Kening aku terangkat tinggi. Pelahan-lahan aku meneliti WhatsApp aku sebelum ni. Betul. Dah pos. Tracking number pun aku dah bagi.

‘Saya dah poskan sis. Tracking number dah ada kan?’

‘Ada. Tapi sis la yang kena check. Takkan customer pulak.’

Bulat mata aku memandang setiap ayat yang di balas pada skrin WhatsApp. Kalau macam tu, apa fungsi aku bagi nombor tracking tu cik adik oi?
Aduhai. Waktu mood aku ke Lautan Hindi ini lah ada customer nak buat perangai pun.

Kejap ye.’

Sabar Nani, sabar. Orang kata, customers always right. Aku terus membuka laman web poslaju. Tracking number yang aku berikan kepada dia sebelum ini aku masukkan ke dalam kotak carian satu-persatu.
Okay.
Dah received.
Jadi, apa masalah dia?

Dekat sini dah tulis terima tiga hari lepas.’

‘Awak jgn nak tipu saya. Memang tak ada pun sampai ni. Menyesal saya beli barang dekat awak, penipu rupanya. Buat kerja haram! Hidup tak berkat! Saya nak balik duit saya!’

Ya Allah dia ni...

‘Dekat sini memang dah tulis sampai dekat Kolej Samudera. Kolej awak, kan? Dah pergi pejabat kolej ke untuk collect? Dah tanya dekat pejabat ke belum?’

‘Dekat kolej? Tak sampai ke bilik saya ke?’

Aku tepuk dahi. Macam ni pun ada ke?

‘Awak, kalau barang yang sampai dekat kolej, pihak pejabat kolej yang terima.’
‘Cubala fikir sikit. Awak ni baru belajar nak beli barang online ke apa? Jangan nak serabutkan seller boleh tak? Benda simple macam ni pun nak bising.’

Sungguhlah api kemarahan aku dah membuak-buak. Tak pernah lagi pembeli lain cakap aku penipu.

Amboi, bahasa awak memang kurang ajar kan? Saya takut barang tak sampai je.’

Aku melepas nafas perlahan. Sekali lagi aku membaca mesej yang aku hantar tadi. Ya. Memang sikit kurang ajar. Tapi silap timing betul budak ni marahkan aku. Aku pun ada hari stress jugak.

‘Sorry. Maafkan saya. Nanti awak check dekat kolej ye. Terima kasih.’

Cepat-cepat aku kawal marah sendiri. Ingat Nani. Customer always right! Melainkan dia kata kau penipu! Heh.
Akhirnya WhatsApp diam tak berbalas. Sekali lagi aku tarik nafas dalam-dalam. Kumpul kekuatan.
Tiba-tiba secawan kopi pekat diletakkan di atas meja. Laju aku angkat kepala. Wajah Ajim tersengih memenuhi padangan mata. Spontan aku lurutkan headphone dari kepala.
“Kau kenapa hari ni?”
Aku mengeluh entah buat ke berapa kali. Kopi di atas meja aku pandang lama. “Americano?” soal aku tanpa mempedulikan soalan dia tadi.
Americano. Bahan asas hanyalah air panas dan espresso.
Ajim angguk mengiakan. “Dengan sedikit gula. Nak bagi manis sikit muka kau tu.” Dia menyambung dengan senyuman.
Aku mencebik. Bagilah gula ke, stevia ke, gula melaka ke. Memang takkan boleh maniskan aku sekarang ni.
Again, what’s wrong with you today?” Dia dah pun duduk di atas salah satu kerusi di depan aku.
Salah satu benda yang aku musykil pasal budak bernama Hazim ni, bukan sekali aku dengar dia speaking loghat Australia. Banyak kali.
Aku pun kalah.
Tapi bila aku tanya, dia cakap dia lulusan SPM je. Kampung dekat ceruk Malaysia.
Akhirnya, aku malas nak tanya lebih-lebih.
Aku pandang kiri dan kanan. Macam biasa, petang-petang macam ni pelanggan tak adalah ramai mana.
I can say... Sudah jatuh, ditimpa tangga. Tercolek tahi ayam dekat muka.”
Ketawa Ajim meletus kuat. “Kau ni...”
“Kan best jadi budak kecik. Pergi sekolah, mak bagi duit. Balik sekolah, makan tengah hari. Tidur. Lepas tu main.” Aku merebahkan kepala ke meja. “Esoknya, buat benda sama balik. Happy je. Tak ada masalah.”
“Kau memang pelik hari ni.” Ajim melipat kedua-dua tangannya ke dada. “Tak nak cerita?”
“Masalah, Jim. Sampai bila pun takkan habis.”
“Berpunca dari kau? Atau orang lain?”
Aku diam berfikir. Kalau nak dikira, semua masalah yang aku hadap sekarang ni berpunca daripada aku jugak. Kalau aku serius belajar, tak adalah markah test aku macam tu. Kalau aku tak tengok Facebook, Instagram ataupun belek Twitter waktu kuliah, tak adalah aku blur bila lecturer mengajar.
Aku tahu tu.
Tapi susahnya la nak hilangkan tabiat tu.
“Dah, aku nak sambung kerja. Air kau hari ni aku belanja.” Ajim kenyitkan mata sebelum hilang ke kaunter kopi. Aku tarik nafas berat. Entah kenapa kepala mula membuat flashback ke beberapa tahun sebelum ni.
Sewaktu aku masih buat diploma.
Waktu aku ada peneman belajar.
“Nani... Nani Nani Nani...”
Aku angkat kepala sebelum menangkap wajah ceria Adi di muka pintu. Suka-suka aje dia samakan nama aku dengan lagu iklan ‘nano nano’ tu.
“Whats up wahai Nani?” Adi dahpun tersengih di depan meja. Sejak dia ikut jualan itu hari, baru  harini aku jumpa dia balik.
“Oi, sini. Jangan kacau makcik tuh.”
Belum sempat aku menjawab soalan Adi, suara Tri terlebih dahulu memotong. Sebenarnya mood kelaut aku dah kembali reda waktu Ajim datang bagi kopi tadi. Jadi bila Adi datang tegur tadi aku tak adalah rasa nak pancung dia sangat.
“Kenapa?” Adi angkat kening, pelik. Perlahan-lahan dia menapak menghampiri Tri di meja paling depan. “Dia period ke?” sambung dia sambil ketawa mengekek. Tri turut tersengih.
“Entah. Mood dia dah sampai Lautan Antartik tu.”
Tapi bila fikir balik, mungkin aku memang nak pancung dua-dua tu sekarang. Layan dua orang ni memang tak akan pernah buat hati aku sejuk pun. Headphone kembali diletakkan ke kepala. Musik dipasang sekuat mungkin.
‘Belajar Nani, belajar.’


Tahun akhir Diploma

M_K: Kalau isi minyak moto seringgit, jangan buat angan-angan nak pergi angkasa.
han_nani: Habistu nak letak berapa ringgit, pakcik?’ aku ketawa kuat. Analogi pakcik ni luar alam sungguh.
M_K: Pakcik cakap ni, cubalah serius sikit, budak.’
han_nani: Entahlah pakcik. Exam esok tawakkal je la...
M_K: Usaha dulu nak tawakkal pun. Usaha tak? Ataupun, balik bilik, makan, online, tidur. Lepas tu bila nak exam, mula la nak tawakkal je...
han_nani: Okay...okay... orang usaha dulu..
M_K: Dah. Pergi belajar. Dari kecik jawab periksa takkan dah besar pun takut lagi?


AKU MELEPAS NAFAS perlahan. Tak semena-mena nama samaran YM ‘pakcik’ dulu aku lakarkan pada dada planner di atas meja.

M_K

Rindunya zaman tu. Zaman yang membuatkan semangat aku untuk habiskan diploma dan sambung ijazah.
Zaman selalu diketuk oleh ‘pakcik’ bila aku malas.
Rindunya...









No comments: