Thursday 17 March 2016

Menori Tri + Nani [Bab 8]




[Bab 8]


SEPERTI YANG DIJANJIKAN tepat jam tujuh setengah, aku dah terpacak di depan kedai. Elok saja aku mematikan enjin, van mini milik Iris Cake House berhenti tepat di sebelah Yamaha Ego aku.
Tri keluar dari van dengan hanya bertshirt hitam kolar dan cap hitam pekat terus ke pintu kedai. Dia memandang aku sekilas sebelum membuka kunci pintu dan terus masuk ke dalam.
Automatik aku mencebik. Cubala bagi salam ke, ucap ‘good morning’ ke. Paling kurang pun, ‘hai’.
Ini tak. Dia pandang je aku macamlah aku ni pokok kayu depan kedai dia?
“Oi, tak nak masuk ke? Kalau aku sorang yang angkat barang ni, sampai petang pun tak kan dapat buka booth tu.”
Amboi. Dia buat aku macam pekerja dia pulak?
Aku ketap bibir, tak puas hati. Nak tak nak, aku masuk juga ke dalam kedai. Dan masih, dia suruh aku tunggu di belakang kaunter. Angkat barang dari situ.
Entah apa benda la yang dia letak di bahagian dapur itupun, aku tak tahu. Takut sangat kalau aku jejak kaki masuk dalam tu.
“Benda ni semua nak letak dalam van terus ke, letak depan kedai dulu?” Aku melaung dari depan kaunter. Tri yang berada di dapur masih lagi ke hulu ke hilir mencari barang.
Bukan ke semalam aku dah suruh dia tanya pada Abang Nas?
“Letak depan kedai dulu. Van tu aku kunci.”
Aku hanya menurut. Hari ni hari sabtu. Kedai buka pukul 9 pagi. Jadi hanya aku dengan Tri saja yang ada.
“Weh, jangan lupa bawa display chiller yang kecil tu.” Sekali lagi aku melaung bila meneliti setiap barang yang sudah dikeluarkan. Payah jugak kalau tak ada chiller kecil tu.
“Weh...weh...” Dia keluar dari dapur dengan muka masam mencuka. “Panggil aku Tri.”
Three?” Aku simpan sengih. Sengaja buat tak tahu. Rasanya sebelum ni dia sendiri tak pernah bagitahu pun nama dia. “Tiga? Ke pokok?” Sambung aku lagi. Nak pecah perut aku tahan gelak.
“T. R . I. Tri.” Dia mengeja satu persatu. “Apa yang payah sangat?”
“Mana nak tahu...” Sikit lagi nak terkeluar ketawa aku. “Kot la ejaan dia sama dengan tiga orang putih tu.”
“T. R . I. Fullstop. Jangan pandai-pandai panggil aku tiga. Dah macam nama ultraman aku dengar.”
Ultraman?
Ultraman Tiga?
“Awak pun tahu cerita ultraman ke?” Spontan soalan itu keluar sebelum sempat aku tahan.
Dia yang masih sibuk mengira barang berpaling ke arah aku sebelum menjawab, “Siapa yang tak tahu?”
Aku angkat bahu. Dalam hati mengiakan kata-kata dia. Hampir seratus peratus manusia dalam Malaysia ni tahu apa itu ultraman. Tapi ultraman kan banyak jenis. Dyna la, Kosmos la, Neos la.
Sungguh la dia ni. Random betul.
“Oi Tri!”
Kami sama-sama berpaling ke arah pintu masuk. Seorang lelaki yang aku agak sebaya dengan Tri melangkah ke dalam kedai sambil membuka cermin mata hitam yang dipakai.
You better have a good reason to wake me up this early. Hujung minggu kot!” Cermin mata diselitkan pada leher baju. Anak matanya melekat pada aku yang masih kaku memandang.
Siapa pulak dia ni?
“Hai. I Adi. Macam pernah jumpa, tapi dekat mana ya?” Dia sengih sambil menghulurkan tangan.
Oh great! Sorang dingin macam kutub utara, sorang kasanova buaya tembaga.
“Sudah la Adi oi. Tolong aku angkat semua barang ni masuk van. Kerja kau bermula dekat booth nanti. Bukan sekarang.” Tri memotong sebelum sempat aku menjawab soalan Adi tadi.
“Kau ni, tak bagi chance langsung.” Lelaki yang dipanggil Adi merungut sendiri. Dia mula membawa barang yang dikumpulkan di depan kedai tadi dan terus ke dalam van. Sempat jugak dia angkat kedua-dua kening dia pada aku.
Automatik aku menggeleng. Kasanova!
Aku hanya memandang gerak geri Adi dari hujung mata. Tapi, memang betul cakap dia. Macam pernah jumpa...
Hah!
Yang bawa Satria Neo tu kan? Hari Tri panggil aku malaun tu!
“Kenapa awak ajak dia pulak ni?” Aku berbisik perlahan sewaktu Adi sibuk menyusun barang di dalam van. Walaupun dia ber’aku’ ‘kau’ dengan aku dari hari pertama kami jumpa, tapi aku tak boleh nak ber’aku’ ‘kau’ dengan dia.
Mungkin sebab dia lebih tua dari aku, jadi rasa hormat tu ada.
Dan mungkin jugak aku ni bukanlah kasar sangat sebenarnya.
“Kenapa? Habis tu kau nak aku sepanjang hari berdua dengan kau? Aku bosanlah tak ada orang nak bersembang.”
Bulat mata aku merenung dia di depan. Bosan tak ada orang nak bersembang? Habis aku ni apa? Meja? Kerusi? Congo bars?
Huh!


HAMPIR  SATU JAM berlalu, barulah gerai kami elok tersusun. Beberapa gerai yang bersebelahan masih lagi menyusun itu dan ini. Jam sudahpun hampir mencecah pukul sembilan pagi.
Aku sempai menyangkut beberapa jenis selendang dan blouse yang ada. Katalog perfume juga diletakkan di atas meja kecil di sebelah meja utama. Aku menarik nafas perlahan bila segalanya tersedia rapi.
Mata mula melilau keseluruh pelusuk dataran di sebelah foodcourt ini. Hanya beberapa orang sahaja pelajar yang ada.
Kejap lagi ramailah pengunjung expo ni.
Hari minggu, rata-rata pelajar memang akan bangun lambat. Bila lagi nak peram tidur sampai tengah hari, kan?
Tri dan Adi dah tersadai di atas kerusi plastik yang disediakan pihak penganjur. Masing-masing mengelap peluh sendiri, kepenatan. Walaupun masih pagi, cahaya matahari sudah pun membahang.
Panas.
Aku berpaling ke belakang. Tri dan Adi masih disitu. Bibir aku mencebik tanpa dipaksa. Tak padan dengan lelaki. Dahlah kerusi ada dua aje, bukannya nak bagi aku duduk. Tak gentleman langsung!
Belum habis aku membebel, telefon bimbit di dalam poket seluar menjerit minta diangkat. Laju aje aku menyeluk saku dan menjeling ke arah skrin telefon. Melihatkan nama yang tertera, bibir aku mencipta senyum segaris.
“Kau kat mana?”
Belum sempat aku memberi salam, Paan terlebih dahulu bersuara. Aku melangkah keluar dari gerai tanpa mempedulikan Tri dan Adi yang khusyuk berbual.
“Ada dekat booth ni ha. Hari ni kan expo makan-makan tu.”
“Aku tahulah hari ni expo. Booth kau nombor berapa?”
Senyuman aku ditarik lagi. Paan ni bagus betul. Rasanya sekali je aku bagitahu dia yang minggu ni aku join Festival Makan-Makan.
“Nombor 16. Sebelah fountain...”
Belum sempai ayat aku habis, mata mula menangkap kelibat Paan jauh di depan. Cepat-cepat aku melambaikan tangan. Dia senyum segaris bila melihat aku di depan gerai. Telefon terus dimatikan.
“Patutla kau tak panggil pun aku tolong. Ada bodyguard rupanya.” Paan berbisik perlahan. Aku terus mencebik sambil memandang ke arah Tri dan kawan dia tu. Bodyguard apa yang duduk dan biarkan bos dia berdiri macam pokok kayu?
“Adik Kak Hasya. Yang pakai spec hitam tu kawan dia., aku pun tak kenal.”
Paan mengangguk-angguk faham. Dia pernah jumpa Kak Hasya beberapa kali bila dia temankan aku di cafe sebelum ni.
Paan kemudiannya senyum dan mengangguk kepada kedua-duanya.
Berbahasa.
“Dah tu, tak perlu aku tolong la ni?”
Aku sengih lagi. Sebelum ni pun, Paan memang banyak tolong aku bila tiap kali ada festival macam ni.
“Tak perlu kot. Dua orang tu dah ada.”
“Kalau macam tu, aku nak pergi library. Report untuk Research Project 1 tak siap lagi. Draf kena hantar isnin ni kan?”
Aku tepuk dahi. Sungguh aku lupa!
Matilah!
Usahkan draf, segala journal pun aku tak belek lagi. Aduhai.
“Kenapa?”
“Aku banyak lagi tak siap.”
“Kenapa aku tak terkejut, eh?” Dia tayang gigi.
“Kurang ajar la tu.”
Paan ketawa kuat. “Dah tahu sangat kau tu.”
“Teruk kan aku ni?”
Dia menggeleng perlahan.
Takpe. Pelan-pelan kayuh. Kau dah pilih nak buat dua kerja dalam satu masa, pandai-pandailah uruskan masa.”
Aku terdiam kaku. ‘Pelan-pelan kayuh.’ Ayat sama yang menghantui aku dulu. Tapi sekarang, semua dah tinggal kenangan.
Tak guna ingatkan benda yang dah berlalu, Nani.
“Kau jual apa kali ni?” dia menjenguk ke arah meja. “Brownies?” keningnya terangkat seinci. Aku tahu dia pun tak pernah tengok benda tu.
Congo bars. Macam brownies jugak. Tapi yang ni kurang manis sikit. Chocolate chips pun banyak. Dijamin sedap.” Sempat aku mengangkat ibu jari, tanda best. “Belilah, jadi first customer aku.”
“There you are!”
Belum sempat Paan menjawab, satu suara asing mencelah. Aku dan Paan berpaling ke arah suara yang menegur tadi.
Ana.
Dia berlenggang kangkung dengan beberapa buku di tangan yang dirapatkan di dada. Jubah hitam dan selendang coklat muda menyerlahkan lagi kerampingan tubuh badan dia.
Sekarang ni, sekali lagi aku nak akui yang dia memang cantik. Jauh beza dengan aku yang hanya bertshirt lengan panjang dan jeans ni.
Tudung pun main sarung aje asal terletak.
“Aku pergi dululah.”
“Okay.” Aku menjawab perlahan.
“Pergi dulu Nani, petang-petang sikitlah kami datang sini balik. Pagi-pagi macam ni panas.” Ana senyum segaris.
Aku mengangguk dengan senyuman yang dibuat-buat. “It’s okay.” 
“Ouch!
Aku berpaling ke belakang. Tri tersengih sumbing di kerusi. Paan dan Ana sudah pun jauh meninggalkan dataran.
“Sakitnya tuh disini, di dalam hatiku.”
Mata aku mencerun pula pada Adi yang menyanyi kecil.
“Gila,” Spontan, itu yang terkeluar.
Kedua-duannya ketawa. Beberapa manusia yang berada bersebelahan gerai mencuri pandang.
Kenapalah aku boleh tersekat dengan dua orang malaun ni.
“Orang yang kusayang-sayang, kini dah disambar orang.” Tri pula menambah. Tak habis-habis dengan lagu zaman 90-an dia tu.
Boleh gila aku dengan dua orang ni.
“Diam boleh tak? Dia tu kawan aje lah. Tak boleh ke kalau saya ada kawan lelaki? Tak boleh ke kalau kawan lelaki saya ada awek?!”
Mereka berdua terus terdiam dan merenung aku lama. Beberapa saat kemudian, mereka berpandangan sambil berbalas senyuman.
Rilakslah. Kitaorang main-main je pun.” Tri membela diri. Dia masih tersengih-sengih memandang Adi di sebelah.
“Tengah rilaks la ni. Ada awak nampak saya tengah menjerit melolong?!”
Sekali lagi Tri dan Adi memandang sesama sendiri. Tak lama kemudian, keduanya mengangkat kening dan mula ketawa. Aku toleh ke kiri dan kanan. Kakak yang berada di booth sebelah turut sama memandang.
Er, aku menjerit ke tadi?
Chill la weh. Aku tahu kau patah hati. Aku gurau je. Tak suruh pun kau cerita kisah hidup kau dengan budak tu.” Sengihan masih lagi belum hilang dari bibir dia.
Oh dear, never fear, Adi is here.” Adi pula menambah. Kedua-dua tangan di depa seluas-luasnya.

Argh! Tolonglah keluarkan aku dari sini. Macam mana nak hadap dua orang ni sampai petang?

No comments: