Memori Tri + Nani [Bab 14]


[Bab 14]

OKAY. SEKARANG NI aku tak tahu nak buat apa. Perlu ke aku menangis teresak-esak depan pintu cafe ni ataupun, terus keluar tanpa menghiraukan semua mata yang memandang?
Aku pilih yang kedua.
Elok saja air mata terbabas keluar tanpa sempat ditahan, aku terus keluar ke tempat parking.
Aku tahu Paan nampak apa yang jadi. Ajim pun.
Dan mungkin jugak beberapa pelanggan yang ada dekat situ.
Dan jugak, yang paling teruk, aku dah menangis depan Tri! Haih, kenapalah aku boleh bertukar jadi cengeng bila dengar suara dia tadi?
“I’ll fix it.”
Tangan yang baru saja menghidupkan enjin motosikal terhenti kaku. Tri sudahpun tercegat di sebelah motosikal aku. Bila masa dia ikut dari belakang?
“Betulkan apa?” soal aku tanpa memandang. Aku tahu dia dah nampak air mata aku jatuh tadi.
Tri memegang handle motosikal aku lama sebelum mencuri pandang ke arah aku. “Now I know apa yang dah jadi. So, I’ll fix it.”
Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba kembalikan suara ke nada asal. “Why? Semua ni tak ada kaitan dengan awak pun, kan?”
“I know.” Dia senyum selapis.
“So? Awak tak perlu nak betulkan apa-apa. Let it be. Let me be.” helmet dibawa ke kepala.
“Mungkin sebab aku tak ada kerja kot. Kau pun tahu kan, kerja dekat cafe tu bosan. Apa sangatlah kerja perhati orang keluar masuk, buat congo bars, hantar makanan,” Dia berhenti sesaat sebelum menghulurkan tangan ke depan. “Sini handphone kau.”
“Nak buat apa pulak?”
“Kan aku cakap aku nak betulkan apa yang dah jadi. Lembab sungguh kau ni, payah sangat nak faham.” Dia buat muka. Nak tak nak aku seluk juga saku jeans sebelum mengeluarkan handphone yang diminta.
Sebetulnya, bukannya aku payah nak faham. Tapi aku tak faham kenapa dia pulak yang nak betulkan.
Entah-entah, dia pun ada komplot share screenshot Whatsapp aku tu tak? Manalah tahu, zaman sekarang ni benda tak sahih pun senang senang je semua orang share. Dekat group WhatsApp la. Dekat Facebook la, dekat Twitter la.
Semua dah tak kisah benda yang di share tu betul ke tidak.
Dia orang tahu tak kalau apa-apa yang disebarkan tu tak betul, boleh jadi fitnah?
Tri membuka ruangan WhatsApp dan membuat beberapa screenshot dari situ. Entah apa yang dia nak buat dengan semua tu pun, aku tak tahu. Takkanlah dia nak bagi page Rotikaya post kot?
Lama dia menekan itu ini sehinggalah handphone kembali ke tangan aku. Kening aku terangkat tinggi melihat ruangan conversation baru.
“Nombor siapa pulak ni?” Kening aku bertaut bila nampak nama baru dalam senarai WhatsApp.
“Aku hantar gambar tadi dekat nombor aku. Kalau tak suka karang kau boleh delete. Tak ada hal.” Dia angkat bahu. “Dah, pergi balik. Tidur ke, makan ke. Kau pun dah belajar banyak tadi.”
Aku memanjat naik ke atas motosikal, bersedia untuk bergerak. Tangan Tri masih lagi di situ.
“Tak pun, tengok Running Man.” Sambung dia lagi.
Automatik dahi aku berkerut bila mendengar nama reality show dari Korea tu. “Awak pun tengok Running Man ke?”
“Siapa yang tak tahu? Dah. Tak payah fikir apa-apa. Fikir final exam je. Kata nak lulus dengan bergaya. Pergi balik.” Dia menepuk handle motosikal beberapa kali sebelum kembali melangkah masuk ke dalam cafe.
Nak bagi aku lulus bergaya. Tapi suruh aku tengok Running Man.
Elok sangatlah tu.


PUKUL ENAM PETANG. Sikit lagi nak keluar anak mata aku bila terpandang jam pada bucu skrin laptop. Sungguhlah, bila dah hadap Running Man ni, satu apa pun tak sedar.
Tak puas tengok gelagat semua peserta yang memang boleh buatkan aku ketawa sendiri.
Setiap minit. Setiap saat.
Automatik, masalah yang jadi sekarang pun aku dah lupa.
Malangnya, satu benda lagi aku lupa;
Esok exam!
Tak sangka aku dengan senang hati dan gembiranya habiskan petang sebelum exam ini dengan Running Man!
Tolonglah sedar diri wahai Nani!
Tapi sebenarnya aku dah terbiasa tengok Running Man bila aku stress. Dan jugak bila sedih. Sebabnya, itu ajelah cara yang nak alihkan fikiran aku daripada benda-benda sedih tu. Sekurang-kurangnya aku boleh ketawa kuat-kuat dan tak ada siapa yang akan perasan aku pernah berendam air mata sebelum tu.
Kan?
Dan sekarang, memang proses pengalihan tu berjaya sehinggakan esok exam pun aku boleh lupa!
Ini semua Tri punya pasal. Ada ke bagi cadangan suruh tengok Running Man. Kalau dia tak cakap tadi, rasanya aku sekarang masih lekat dekat meja belajar. Belajar.
Aku luruskan kedua-dua tangan, menggeliat. Dah pukul enam, solat asar pun belum. Elok sangatlah kau Nani.
Belum sempat aku tutup laptop rapat, telefon bimbit menjerit kuat minta diangkat. Aku menjeling ke arah skrin sekilas sebelum menyambungkan talian.
“Assalamualaikumu, mak,”
Mak menjawab salam senafas. “Minggu ni kamu periksa, kan?”
“Haah. Esok dah mula sampai minggu depan.” Aku bangun dari katil dan mencapai tuala dari penyangkut belakang pintu.
“Ooh. Buat baik-baik.”
“InsyaAllah.”
“Duit ada lagi tak? Mak tak sempat nak bagi duit. Adik kamu tu sibuk minta belikan basikal.” Aku dengar suara mak berubah nada.
Perlahan-lahan aku tarik nafas. “Ada lagi, mak. Sempat kot sampai habis exam.” Tenang aku menjawab walaupun realitinya aku kena makan biskut cicah teh o aje lepas ni.
“Okaylah kalau macam tu.”
Aku dan mak bersembang beberapa topik lain sebelum talian diputuskan. Satu keluhan keluar juga tanpa dipaksa. Aku faham sangat keadaan mak. Dan aku faham sangat perangai adik bongsu aku tu.
Kalau dia nak itu, itulah kena kasi.
Sikitpun tak reti sabar.
Untung betul jadi budak.
Sekali lagi aku mengeluh.
Great. Bisness aku dah kelaut. Duit belanja pun tinggal suam-suam kuku.
Great!


SELESAI MANDI DAN solat, sekali lagi telefon aku berbunyi. Cepat-cepat aku habiskan doa sebelum mencapai telefon bimbit dari atas katil. Kening aku terangkat seinci bila nama Paan muncul di skrin.
Aku janji nak jumpa malam ni. Sekarang waktu maghrib pun belum.
“Kenapa?” Terus saja aku menyoal sebaik sahaja menyambungkan talian.
Lama dia diam sebelum bersuara. “Jadi ke nak study malam ni?”
“Jadi kenapa?” Tiba-tiba aku terasa pelik mendengar soalan dia. “Tapi kalau kau tak free, aku boleh study sendiri je, no hal.” Sambung aku lagi.
“Ana tu,” Dia diam sesaat. “Ana ajak tengok Dilwale pulak.”
Aku diam. Kesian Paan. Sebab aku, dia pulak yang jadi serba salah. Lagipun, yang ada exam esok aku aje. Paper repeat. Paan punya paper lagi tiga hari. Ana pun sama.
Mestilah dia orang nak hilangkan stress puas-puas sebelum hadap exam, kan?
“Tak apalah, kau pergi je la.”
“Kau nak ikut sekali tak? Ubat stress.”
Paan ni pun. Ada ke Ana ajak dating, dia nak ajak aku. Mahunya Ana buat muka muncung satu kilometer. Bukannya aku tak tahu perangai Ana tu.
“Kau pergi ajelah. Gila ke aku nak ikut, paper aku esok kot!”
“A’ah la! Aku lupa.”
Aku senyum tawar. Hujung telekung aku pintal-pintalkan gaya budak menggentel bucu bantal.
“Okaylah kalau macam tu. All the best!”
Nafas dihela perlahan sebaik sahaja panggilan tamat. Lama aku pandang skrin telefon di tangan.
Patutlah banyak aje aku baca banyak kata-kata dan nasihat tentang jangan bergantung sepenuhnya dengan manusia.
Bukan pada kenalan, bukan jugak pada pengedar stok barangan bisness aku dan, bukan juga pada kawan baik sendiri.
Sebabnya, bila waktu gelap macam ni, hatta bayang-bayang sendiri pun hilang. Bergantung pada Allah, Nani.

‘Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.’



Tahun Akhir Diploma

han-nani: Pakcik, kenapa payah sangat nak masuk bila belajar sendiri eh?
han-nani: Padahal memang fokus je.
han-nani: Takkan nak rendam buku, buat minum kot.
M_K: Baca doa tak?
han-nani: Tak. Lupa.

M_K:Doa lah. Minta permudahkan ilmu masuk. Sia-sia la sekolah dulu cikgu ajar baca doa sebelum belajar. Tak susah pun, kan?



***

Comments