Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 18]

[Bab 18]


AKU BERDIRI TEGAK di depan meja aluminium. Apron yang diberi Tri tadi dah tersemat di badan. Sedikit senyuman menghiasi bibir yang dari tadi masam mencuka. Tri mula menyusun bahan-bahan untuk membakar congo bars. Perlahan-lahan aku mendekati sambil menjenguk dari tepi.
Mahalnya!
Baru dua tiga bahan yang aku jeling dah mampu membuatkan mulut ternganga luas. Bulat mata tengok harga pada bahan-bahan untuk buat congo bars yang Tri letakkan di atas meja. Masih berbungkus plastik dan ada tanda harga.
Butter jenama President.
Coklat chips jenama Valrhona dan badam hiris dalam plastik kecil tu pun hampir RM 10!
“Kalau guna butter timbang tu je tak boleh ke?” Spontan soalan tadi keluar. Laju aku tutup mulut bila Tri menjeling ke tepi.
“Nak sedap, kenalah beli yang berkualiti sikit.”
“Tak adalah. Butter mahal. Coklat mahal. Badam pun mahal.” Tangan mula gatal menyentuh plastik coklat dan badam yang belum dibuka. Kalau semua bahan mahal, aku yang tak mampu ni memang tak terbuatlah agaknya. “Jenama ni saya tak pernah tahu pun.” Plastik chocolate chips tadi aku angkat tinggi.
“Perancis punya coklat.” Dia menjawab senada. “Dah. Diam. Aku suruh kau tolong je. Bukan buat bising.”
Aku mencebik.
“Bagi bekas tu. Aku nak gaul bahan ni.” Jari telunjuknya tepat pada bekas besar dihujung meja.
Patutlah suruh aku ikut sekali. Nak buli rupanya. Ceh! Kalau aku tahu, aku duduk je melangut dekat depan tadi. Boleh sambung tidur!
“Nah, tepung ni kau ayak bagi habis.” pengayak tepung dan tepung ditolak mendekati aku.
“Alah, letak je la terus. Tak boleh ke?”
Pengayak tepung melayang ke kepala.
“Orang suruh ayak tu, ayak ajelah. Jangan banyak bunyi.”
Aku pantang sungguh main kepala ni. Nak tak nak, pengayak tadi aku capai juga. Habis berdebu meja dek tepung yang terbabas keluar. Aku buat-buat tak tahu aje bila Tri menjeling dari tepi. Marahlah, marah. Tadi sibuk suruh aku buat, kan?
“Okay, dah. Next?” Aku letakkan tepung yang sudah di ayak ke depan. Hampir tersembur ketawa aku bila lihat muka tahan marah dia. Habis putih satu meja!
“Aku nak campur butter dengan gula perang ni. Kau tengok je diam-diam.” Dia meletakkan gula perang dan butter tadi ke dalam mixer. “Kau ambil telur 3 biji dekat sana.” Tri memuncungkan mulut ke arah rak simpanan bahan-bahan sambil menekan suis mixer.
Aku letakkan telur di atas meja, menanti apa proses seterusnya. Tri memasukkan telur tadi sebiji demi sebiji sambil memutarnya perlahan. Bagi rata.
3 biji kesemuanya.
Masuk esen vanila.
Dan berhenti.
Aku masih memerhati tanpa suara.
“Kau letak tepung dalam ni sikit-sikit, aku kacau.”
Aku angguk. Bekas tepung tadi dicapai. Sesenduk tepung dimasukkan ke dalam adunan yang sedang dikacau Tri.
“Nani!”
Aku angkat kepala. “Apa?”
“Masukkan sikit sikit. Apa yang payah sangat?” Muka dia merah padam.
Alah, aku masukkan satu senduk penuh je, bukannya satu bekas tepung tu pun. Itupun salah ke?
Atau... satu senduk penuh tu banyak?
“Bak sini, biar aku masukkan sendiri.” Bekas tepung dirampas dari tangan. Tepung tadi disenduk dan dimasukkan sedikit demi sedikit.
Memang sikit. Bukan satu senduk penuh!
Habis tepung, dia masukkan pula baking power dan garam. Aku masih membatu di tepi dengan rasa teruja. Sebenarnya selama ni aku tak pernah tahu buat kek kena fokus macam ni sekali. Ingatkan main campak je.
Tengok muka Tri berkerut-kerut dan setiap perlakuan dia sangat teliti, aku jadi kagum.
“Ini bila nak letak?” Aku angkat plastik badam hancur tinggi. Sebenarnya memang aku suka sangat benda alah ni. Bukan setakat yang hancur, yang belum hancur ke yang dihiris ke semua aku suka.
“Tunggu aku gaul sikit lagi.”
Aku angguk. Tak sampai seminit menunggu, Tri angkat kepala.
“Badam hancur dan chocolate chips.” Dia berhenti mengacau.
Dengan senyuman lebar aku masukkan kedua-duanya ke dalam adunan.
“Pergi letak kertas minyak pada loyang.”
Sekali lagi aku mengangguk. Loyang pembakar segiempat tepat yang sudah diletakkan di atas meja tadi aku lapikkan dengn kertas minyak. “Dah.”
“Letak butter sikit.”
“Banyak mana?”
“Sikit je. Agak agak tak lekat.” Dia menjawab tanpa berpaling.
Tangan aku laju mengikut arahan. “Dah!”
“Goodgirl.” Dia sengih. “Dah, tepi. Aku nak tuang ni.”
Hampeh betul. Ada ke dia buat aku macam robot je?
“Apa?” Dia pandang aku sesaat bila perasan panahan mata ‘tak puas hati’ aku. Tangannya cekap meratakan adunan ke setiap penjuru loyang.
“Tak ada apa.” Tangan dilipat ke dada. Tak puas hati.
“Okay, last. Tabur benda ni.” Dia hulurkan badam hiris dan lebihan chocolate chips.
“Taburlah sendiri.” Muncung aku dah sedepa.
Tri tergelak kecil sambil menggeleng.
“La... merajuk kenapa pulak?”
“Mana ada merajuk.”
“Sekilas ikan di air, aku tahu jantan betina. Sekilas jelingan kau, aku tahu tak puas hati dalam hati kau tu.” Keningnya diangkat berkali-kali. “Nah, last touch. Boleh claim kau yang buat dekat Ajim dengan Khalisha nanti.”
Dengan cebikan, aku sambut juga huluran dia. Badam dan chocolate chips ditabur dengan berhati-hati. Biar nampak berseni sikit.
“Okay. Siap!” Aku senyum lebar. Puas hati!
“Sekarang, kita masukkan ke dalam ketuhar pada suhu 170 darjah celsius dalam masa tiga puluh minit.” Dia mengangkat tinggi loyang tadi dengan sebelah tangan.  Gaya dia tak ubah macam chef dalam cerita masak-memasak. Kemain lagi.
“Jangan terlebih bakar, ye tuan-tuan dan puan-puan.” Loyang selamat dimasukkan ke dalam ketuhar.
“Berangan!”
“Okay. Sekarang tunggu je.” Dia ketawa perlahan.
“Jomlah buat kek lain pulak.” Aku dah rasa teruja nak buat kek lain. Seronok jugak sebenarnya bakar-membakar kek ni.
“Kita tunggu je diam-diam. Kek lain biar Kak Iqa dengan Abang Nas yang buat.” Dia lurutkan topi chef dari kepala dan mula mengemas barang yang bersepah di atas meja.
“Alah, bosanlah satu je. Jomlah buat kek lain. Lagipun takkan nak jual sejenis ni je?” Aku masih lagi cuba memujuk.
“You know what?” Dia menyoal tanpa memandang. Di tangannya penuh dengan bekas-bekas dan senduk yang digunakan tadi.
“What?”
“Tapi ni rahsia.” Senyum terukir nipis.
Dahi aku berkerut. Apahal tiba-tiba cakap pasal rahsia ni?
“Apa dia?”
“Sebenarnya aku tahu buat satu kek tu je.”
Aku ternganga. “Seriously?”
Makin ternganga aku bila Tri mengangguk. “Aku pernah cuba, tapi tak pernah jadi. Sebab tu aku pakar buat benda ni. Sebab ini je yang aku tau.”
La...gaya dia ajar aku tadi macam semua resepi kek dalam kepala dia.
Hampeh!



SEMENTARA MENUNGGU congo bars tadi masak, aku keluar ke depan meninggalkan Tri yang masih mengemas. Jam pada dinding sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Lama rupanya aku dengan Tri bersilat dalam tu. Sekarang ni bila-bila masa saja Kak Iqa sampai.
Aku selongkar telefon bimbit dari beg tangan sebelum melabuhkan punggung ke atas kerusi. Kening aku bertaut bila melihat nama Paan terpapar pada skrin. Macam tau-tau pulak aku tengah cari telefon.
“Kenapa?” soal aku sebaik sahaja talian disambung. Tri yang baru keluar dari dapur memandang sekilas.
“Kau dah balik Shah Alam?”
“Haah.” Aku mengluh perlahan. “Kenapa?”
“Awalnya! Kau balik dengan apa?”
Aku buat-buat tak nampak pandangan Tri dari kaunter. “Bas. Aku ada lab untuk research project tu la.” Tipu. Aku tipu. Memang pun ada kerja makmal untuk subjek research project, tapi sempat je kalau nak buat selepas buka semester pun. Lagipula, aku dan Sofia belum dapat lagi procedure untuk experiment tu. Mana mana nak mula?
Tapi takkanlah aku nak cakap yang aku taknak jumpa dia lepas dia bertunang dengan Ana pulak?
“Kenapa tak cakap awal-awal. Kitaorang terus pergi Shah Alam dari rumah Ana semalam.”
Jadi?
“Kalau tak, boleh je kau ikut sekali.”
Paan ni dah gila agaknya. Ada ke nak ajak aku pergi majlis meminang Ana tu sama.
“Aku dah sampai sini pun.”
“Kau kat mana? Rumah?”
Aku tarik nafas perlahan. “Tak. Dekat cafe.”
“Eh, dah bukak ke? Awalnya kau pergi cafe. Dating eh?”
Dating apa pulak. Aku gosok gigi pun belum ni.
Eh?
Betullah! Sampai stesen bas tadi, terus ke sini. Solat subuh dan buat congo bars.
Aku buat kek tak gosok gigi.
Aku bersembang, bergelak ketawa dengan Tri tadi tak gosok gigi.
Terus je aku tepuk dahi sendiri. Tri yang ada di kaunter aku jeling dengan hujung mata.
“Oi. Aku tanya ni!” Paan menjerit satu nada dari hujung talian.
“Aku belum sampai rumah lagi la.”
“Kalau macam tu, tunggu situ. Aku pun dah turun dari rumah nak cari breakfast ni. Terkejut aku bila mak kau cakap kau dah sampai Shah Alam.”
Mak ni pun. Takkan semua benda nak bagitahu Paan?
“Aku dah nak balik rumah ni. Nantilah jumpa.”
“Aku dah turun. Kita breakfast dulu. Nanti kau balikla rumah. Tunggu situ.” Paan mematikan talian.
Aku termenung memandang telefon bimbit di tangan. Kalau dan macam ni rupanya perangan tunangan Ana ni, macam mana aku nak ikut arahan Ana tu?
“Kenapa?”
Aku geleng perlahan. “Saya nak balik dah.” Xiaomi Note disimpan ke dalam beg tangan.
“Eh, tak nak tunggu masak?”
“Petang nanti saya datang balik.”
Dia memandang aku lama. “Lagi sepuluh minit je. Takkan tak boleh tunggu.”
Belum sempat aku menjawab, pintu depan diketuk dari luar. Aku dan Tri sama-sama memandang ke arah pintu kaca yang masih bertanda Closed. Paan mengangkat tangan dari luar.
Aku dengar Tri mengeluh perlahan sebelum dia melangkah keluar dari kaunter.
“Petang ni saya datang.” ulang aku lagi.
“Up to you.” Dia menjawab perlahan sambil membuka kunci pintu depan.
“Hai.” Paan angkat tangan. Tri cuma senyum mengangguk. Paan mengalihkan tumpuan kepada aku. “Jom.” Dia mengambil beg baju dari tangan aku tiba-tiba.
Aku melangkah keluar dari cafe sebelum pintu ditutup dari dalam. Nafas dihela perlahan dek kelakuan Tri yang aneh tiba-tiba. Bukan ke dia yang suruh aku layan Paan macam biasa?
“Mama dengan abah kau mana?” soal aku sebaik sahaja kami menghampiri Satria Neo Paan. Paan ni anak orang senang. Motosikal pun dia bawak. Kereta pun dia bawak.
 Beg baju aku diletakkan ke dalam bonet sebelum dia menjawab, “Dah balik Subuh tadi.”
Ooo.
“Nak makan dekat mana eh?”
Belum sempat aku menjawab, Xiaomi Note aku berbunyi lagi. Laju aku keluarkan dari beg.
Ana lagi.

‘Kau dah sampai Shah Alam? How? Paan pun ada dekat Shah Alam. Korang berjanji ke apa?’

Laju aku menggeleng. Ini mesti Paan yang cakap aku ada kat sini. Budak Ana ni nak kena bagi ubat sikit kot baru diam. Kalau dia tak percayakan aku tu, boleh terima la jugak. Ini dia tak percayakan tunang dia sama.
Bukan ke tunjang perhubungan tu percaya?
Jadi, percayalah. Paan anggap aku kawan baik je Ana oi.
“Siapa?”
“Tunang kau.”
 “Dia cakap apa?” Paan ketawa lepas.
 “Kejap. Kau pandang sini.” Aku hidupkan kamera depan. Sesaat masa, aku mengambil gambar selfie dengan wajah Paan di sebelah pintu tempat pemandu. Lantaklah dengan muka tak mandi dan tak gosok gigi.
“Nak bagi Ana?”
Aku angguk. “Aku tak naklah keluar dengan tunang orang belakang-belakang macam ni,”
“Ek eleh kau ni. Aku kan kawan kau.” Paan gelak. Lagipun aku dah bagitahu dia tadi, nak breakfast dengan kau. Alah, kau fahamlah tunang kesayangan aku tu.” Paan sengih dan terus masuk ke dalam kereta. “Oi, masuklah. Aku dah lapar ni.”
Aku senyum sesaat sebelum duduk di sebelah pemandu. Tangan masih lagi rancak menghantar gambar tadi terus ke nombor WhatsApp Ana.

‘Nani!!!’

Aku sengih sendiri. Paan di tempat pemandu aku pandang sekilas. Masih fokus mencari arah tuju.
Tumpuan kembali pada skrin WhatsApps. Tangan mula menaip jawapan balas.

‘Ana, aku keluar dengan tunang kau. Maaf sebab tak dapat nak ikut pesanan kau tadi. Kau kena percaya, aku takkan rampas Paan dari kau. Paan tak ada hati pun pada aku.

Aku dengan Paan kawan baik. Tak ada benda boleh ubah tu.’


***

No comments: