Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 11]

[Bab 11]


BAIKLAH. Dengan ini aku isytiharkan yang aku akan kurangkan kehadiran aku ke Iris Cake House berkuat kuasa bermula dari hari ini
Satu, sebab aku memang dah tak ada motif untuk ke sana sebab mulai sekarang aku akan dengar nasihat Paan. Kurangkan berniaga. Jadi, tak perlulah aku nak tumpang WiFi kedai tu, kan?
Dua, sebab malaun tu.
Habis.
Aku boleh je hidup kalau tak pergi cafe tu sehari, kan? Lagi pulak, dekat rumah pun aku boleh minum kopi. Satu bungkus white coffee yang aku beli entah bila dekat dapur tu pun banyak lagi.
Kopi 3 in 1. Walaupun tak senikmat kopi yang Ajim buat tu, tapi bolehlah.
Dan sekarang, aku mengeluh untuk entah ke berapa kali. Mata masih memandang tepat pada papan putih yang diconteng pelbagai formula dari tadi tanpa sikitpun beralih. Cuma fikiran saja yang melambung jauh keluar dari dewan kuliah.
Sepanjang dalam kelas Dr. Mahmud, sikit pun aku tak boleh tumpukan perhatian. Sesekali tangan aku sibuk mengeluarkan telefon bimbit dari bawah meja. Dan bila aku terpandang Paan yang berada tak jauh dari meja, laju saja tangan menyimpan kembali telefon pintar tadi.
Jelingan Paan boleh membawa maut betul!
Tumpuan aku akhirnya kembali pada lecture Dr. Mahmud di depan. Gerak geri Dr. Mahmud yang menerangkan itu dan ini hanya masuk ke telinga aku bagai angin lalu.
Minggu ini, aku lalui hidup seperti biasa. Kelas, tutorial dan assignment bersilih ganti. Beberapa WhatsApp yang masuk untuk order barang terpaksa aku balas hampir lewat malam.
Dan ada jugak yang aku terpaksa cakap stok habis walaupun aku boleh saja ambil stok baru daripada pengedar.
Bulan ni aku ada misi. Misi untuk lulus semua subject untuk semester ni dan habiskan degree dengan jayanya semester depan.
Aku hanya ada setahun untuk habiskan semua carry paper aku. Bukan satu. Tapi tiga.
Ya, ya. Aku tahu tiga carry paper tu memang teruk. Tapi bak kata lecturer aku, ‘tak engineeringlah kalau tak repeat’, kan?
Hah ha.
Okay, tamat topik repeat. Yang penting untuk semester ni, aku akan selesaikan semua repeat paper yang ada.
Semua.
Barulah aku boleh konvo sama dengan Paan.
Dengan Jiha, Sofia, Anis, Zati dan Sirah.
Dan jugak dengan semua kawan-kawan kelas aku yang lain. 
“Aku tak tahu pulak belajar dengan termenung tu sama makna.”
Kepala berpusing ke belakang. Entah bila Paan beralih tempat ke kerusi belakang aku.
“Bosan...” spontan aku menjawab.
“Cuba kau buat belajar ni macam berniaga. Masuk lecture hall macam cari modal. Lulus exam dan habiskan degree macam untung berjuta-juta. Amacam?
Paan ni la... belajar, belajar la. Berniaga tu, berniaga. Apa nak disamakan pulak.
Sama ke?
“Cubala kau fikir balik apa motif kau sambung degree ni. Kalau nak berniaga baiklah kau berhenti terus lepas habis diploma dulu.” Paan masih lagi tak berhenti membebel.
Motif?
Aku tarik nafas bila peristiwa itu diungkit.
Memang pun aku tak nak sambung ijazah lepas habis diploma dulu.
Memang pun aku dah kurang minat nak belajar.
Tapi...
“Dah. Diam. Dr. Mahmud bagi lecture dekat depan tu, kau membebel kat belakang.” Cepat-cepat aku memotong bebelan Paan sebelum merebak sampai ke topik lain.
“Ceh, aku pulak yang kena.” Sempat dia mencebik.
Aku melepas nafas perlahan dalam sengihan. Nota yang diubah ke dalam bentuk slideshow itu aku pandang tanpa tujuan.
Cepatlah habis degree!
“Nani, sebenarnya aku nak tanya kau satu benda.” Sekali lagi dia menegur dari belakang.
Aku kerut dahi. Sekali lagi aku berpusing kebelakang, tidak menghiraukan pandangan Dr. Mahmud yang menjeling-jeling dari tadi.
Mestilah dia perasan yang aku tengah bersembang dengan Paan. Dewan ni pun bukannya besar mana.
“Apa lagi?”
“Kau ada buka Facebook tak hari ni?”
“Kenapa?” Kening aku terangkat tinggi. “Kau jugak yang suruh aku kurangkan semua benda tu, kan?”
Dia cuma sengih mendengar jawapan aku. Akhirnya dia menggeleng laju sebelum memandang ke depan. “Yeah, I know.” jawab dia perlahan.
“Kenapa tiba-tiba keluar fasal Facebook pulak?” soal aku lagi. Pelik sebenarnya.
“Nothing.” Paan menjawab tanpa memandang. “Nothing much.” ulang dia lagi.
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil kembali ke posisi asal. Kenapa aku rasa ‘nothing’ dia tu ada something?


HABIS WAKTU KULIAH, aku mengikut Paan dan Sofia ke perpustakaan. Selesaikan assignment. Macam biasa, Sofia dan Paan yang banyak selesaikan semua. Aku cuma pandang dari jauh dan soal itu ini bila ada soalan yang aku tak faham.
Yang aku rasa, semua soalan aku tak faham.
“Kau dah kira bubble dengan dew point? Nak tengok.”
“Nak tengok details bottom column jap.”
“Apahal stage distillation column ni sikit sangat aku dapat? Kau dapat berapa?”
Aku pandang kertas aku yang masih tidak berconteng macam Paan dan Sofia. Soalan mereka bersilih ganti menyapa anak telinga aku. Dia orang dah buat sampai stage column. Aku cari bubble dengan dew point pun belum.
“Serius aku tak faham kenapa kau tak faham.” Paan menggeleng. Automatik aku mencebik. Ini perlian ke apa?
“Kau tu bijak. Memanglah tak faham perasaan orang kurang bijak macam aku ni.”
“Bijak tu tidaklah. Kau lupa ke darjah enam dulu siapa yang dapat 5A? Kau, kan? Aku budak 3A je pun.” Paan tergelak perlahan. Sofia hanya sengih tanpa memandang.
“Kau cerita zaman Jepun kenapa. Masa tu mana ada subjek payah nak faham macam ni.”
“SPM dulu pun kau yang dapat banyak A dari aku, kan? Jadi, siapa yang bijak sekarang?”
Aku buat muka.
“Sekarang je kau kalah dengan aku pasal kau tu tak ada minat nak habiskan course ni. Otak fikir benda lain.” Sambung Paan lagi. “Aku memang nak jadi engineer. Kalau aku tak faham, hancurlah cita-citaku ini.” Dia sengih dihujung ayat.
Engineer.
Sampai sekarang aku rasa aku tak ada cita-cita.
Yang aku tahu, aku nak habiskan degree ni cepat. Lepas tu aku nak buka kedai. Kedai realiti.
Yeah. All the best Nani!
“Kau perempuan, tak apalah. Habis degree nanti aku suruh mak kau carikan calon gaji besar sikit. Kahwin. Lepas tu bolehlah goyang kaki je.”
“Apahal aku pulak. Kau tu la. Dah baik balik dengan Ana pun tak nak bagitahu aku. Iyalah, aku ni pacal yang hina.”
Paan ketawa kuat.
Dah lupa agaknya yang dia tu ada dalam perpustakaan.
“Tukar topik pulak,” Ketawanya masih bersisa. “Aku cakap pasal kau. Kenapa payah sangat nak masuk perkataan kahwin dalam kamus hidup kau ni hah?”
“Aku muda lagi.”
“So what?”
“Degree pon tunggang langgang lagi.”
“Bukan syarat nikah pun semua tu.” Paan sengih.
“Plus, aku bukannya macam kau. Tak ada calon lagi.”
“Itulah kau. Aku nak pinang, tak nak.”
Sofia yang asyik mengira itu ini pada kalkulator saintifik angkat kepala, memandang Paan dan aku bersilih ganti.
Paan ni pun. Nak bergurau tak kena tempat! Dia tahu tak benda ajak bertunang ni sensitif?
“Bodoh la kau ni.” Ambik kau. Tak pasal-pasal dapat perkataan tu.
Paan masih ketawa cuma tumpuannya kembali pada soalan tutorial di atas meja. “Dia minta maaf, dan aku maafkan dia. So, settle.” Dia bersuara perlahan, menjawab soalan aku tadi.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Untunglah kau Ana. Buat salah, minta maaf. Dah.
Untunglah Paan sayang kau.
Untunglah...
“Hai Nani,”
Lamunan aku tersasar jauh ke realiti bila satu suara asing menegur.
“Hai you.” Ana terus duduk di atas kerusi kosong sebelah Paan.
Aku sengih. Baru saja sebut, muncul pulak dia. Panjang umur sungguh kau, wahai Ana. “Ada kelas ke?” soal aku berbahasa. Entahlah. Sejak dua menjak ni, entah kenapa aku rasa tak senang pulak dengan Ana ni. Dulu tak penah pulak macam ni.
“Haah. Kejap lagi. Singgah sini kejap sebab Paan cakap dia ada dekat sini.”
“Oooo.” Aku pandang Paan yang khusyuk menyelesaikan kira-kira tadi. Tak kan tak boleh berenggang kot.
“You dah bagitahu dia belum?” Ana menoleh ke arah Paan. Perlahan dia mencuit bahu Paan di sebelah. Tulisan Paan terhenti. Laju dia angkat kepala, memandang aku dengan wajah serba salah.
Apahal pulak ni?
“Macam belum je...” Ana merilik ke arah aku.
“Bagi tahu apa?”
“Nantilah I bagitahu. Kelas you pukul tiga kan. Pergilah sekarang, karang lambat.” Paan menjawab soalan Ana tanpa menghiraukan aku.
“Kejap, bagitahu apa ni? Korang dah nak nikah ke apa?” Aku tarik sengih. Main tolak tali pulak dua orang ni.
“Kau tak online ke hari ni?” Soalan Ana membuatkan kening aku terangkat tinggi.
Tadi Paan. Sekarang Ana pulak yang tanya soalan yang sama. Apa, dia orang invite pergi majlis kahwin pakai Facebook ke apa?
Aku hanya menggeleng menjawab soalan Ana.
“I think you should. Aku rasa kau kena tengok apa yang viral hari ni.” Muka Ana sekarang sikit pun tak dapat aku tafsir.
Apa yang jadi?
Kenapa aku kena tengok apa yang viral hari ni?


SEPANJANG KELAS TUTORIAL Paan diam tidak memberikan jawapan. Penat aku tanya apa yang jadi dekat Facebook hari ni, tapi jawapan dia masih sama.
‘Tak ada apa pun. Tak payah tengoklah. Tak payah online la sampai final exam.’
Jawapan Paan makin membuatkan aku rasa tak senang duduk. Ringan saja tangan mencapai handphone sendiri untuk membuka aplikasi Facebook tapi hampa. Tak ada bateri!
Inilah masalah telefon pintar sekarang. Tak boleh nak duduk dekat fakulti lama sikit. Belum pun sampai maghrib, bateri dah semput.
Nak tak nak, balik dari fakulti aku melencong ke Iris Cake House. Nasib baiklah aku ada bawa laptop untuk siapkan assigment pagi tadi.
Sampai saja, aku ambil tempat duduk biasa dan pasangkan komputer riba tanpa menegur Ajim dan Khalisha yang memandang.
“Apahal macam nampak hantu ni?”
Aku sengih nipis. Tak tahu apa perasaan yang ada sekarang. Yang penting, aku tersangatlah nak tahu apa benda yang ada dekat Facebook sekarang.
Voucher buku pelajar dinaikkan sampai RM 500 ke?
Atau...
Entahlah. Sikit pun aku tak dapat agak apa yang jadi.
“Kau nak minum apa ni? Makan?”
“Bagi ajelah apa-apa.” Aku menjawab soalan Ajim tanpa memandang. Skrin komputer riba yang masih dalam keadaan ‘loading’ itu aku pandang lama.
Waktu ni jugaklah dia nak loading lama-lama pun!
“Sha, akak nak password hari ni.” Aku mengangkat kepala memandang Khalisha yang baru saja meletakkan piring congo bar ke atas meja. “Eh, ni apa pulak?”
“Tadi kata kasi je apa-apa?” Khalisha sengih.
“Tapi kenapa benda ni?”
Last. Dah petang pun, tak ada orang kut yang nak beli. Alang-alang tu, akak habiskan ajelah.”
Laju aku menggeleng. Nak jimat aje kerja.
“Yelah. Cepat, akak nak password.”
“Kejap.” Dia hilang ke kaunter. Tak sampai seminit, dia kembali dengan sekeping kertas segiempat tepat dan terus menghulurkannya kepada aku.
“Thanks.”
“Kau ni kenapa?” Ajim pula tiba dengan segelas americano ais.
Sekali lagi aku menggeleng dengan sengihan sebelum menjawab, “Nothing.”
Ajim pandang aku pelik. Ya, aku tahu. Aku tahu ‘nothing’ aku tu bukan betul nothing.
Password yang diberikan tadi aku isi satu persatu. Tak sampai sesaat, laman web Google terpampang pada skrin.
Ajim sudahpun berlalu meninggalkan aku sendiri bila ada beberapa pelanggan masuk dan membuat pesanan.
Aku terus membuka laman Facebook sendiri. Mata cepat saja meneliti setiap status dan post yang ada.
Apa benda yang aku kena tengok sebenarnya?
“Kau ni suka betul kan congo bars yang aku buat. Terharu betul aku.”
Sedang asyik aku mencari sesuatu yang aku sendiri tak tahu apa, suara Tri pula menyapa telinga. Aku angkat kepala dari skrin laptop. Tri sudahpun duduk di atas kerusi bertentangan dengan sengihan.
“Mesti kau rindu sebab dah lama tak rasa benda tu, kan?”
Dahi aku berkerut lebat. Apahal tiba-tiba baik semacam ni? Suka congo bars? Rindu?
“Awak cakap apa sebenarnya ni?”
“Iyalah. Kau dah lama tak singgah sini. Hari ni kau datang, kau order congo bars lagi. Sedap kan, aku buat?” Tri tersengih sambil melipat kedua-dua tangannya ke dada.
Kening aku terangkat tinggi bila dengar pernyataan dia. Ada pulak macam tu!
Aku pandang pula Khalisha yang sudah mengekek ketawa dari kaunter. Pandangan dia aku balas dengan riak muka ‘manager kau ni perasan betul.’
“Encik Tri four five, jangan nak masak masuk bakul angkat sendiri, boleh tak?”
“Apa pulak? Bukan ke kau datang sini semata-mata nak makan congo bars aku tu?”
Aku menggeleng laju.
“Habistu?”
Aku sengih sesaat. Jari telunjuk melurus pada sticker 30 sentimeter lebar dan 30 sentimeter panjang yang terlekat pada dinding cafe tak jauh dari meja aku.
Tri mengikut arah jari aku dengan dahi berkerut.
“Sebab ada WiFi free.” Jawab aku perlahan.
Dan muka Tri sekarang membuatkan aku nak gelak tergolek sekarang jugak. Itulah, siapa suruh perasan sangat!






No comments: