Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 6]

[Bab 6]


SEPANJANG PERJALANAN BALIK ke rumah sendiri, bibir aku tak putus dari tersengih, masam, mengata dan sengih balik.
Sengih sebab padan muka dia. Siapa suruh pasang lagu entah apa-apa tu sampaikan aku tak tahu yang dia tengah membebel marahkan orang yang kunci tayar motosikal dia.
Aku masam sebab suka-suka hati dia panggil aku malaun dengan muka kerek dia tu. Agak-agak la nak marah pun. Dia tak tahu ke yang perempuan ni perlu dilayan dengan baik? Ini tak, selama je dia ‘malaun’kan aku dekat situ. Depan kawan dia pulak tu!
Sampai sahaja di parking depan rumah, aku terus matikan enjin dan mengunci tayar macam biasa. Sekali lagi ketawa terlepas dari bibir. Spontan aku menggeleng sendiri.
Macam mana aku boleh tak perasan yang aku terkunci motosikal orang lain?
Nani...Nani...
Tanpa menghiraukan beberapa manusia yang memandang pelik bila aku senyum sendiri, aku terus membawa kaki memanjat tangga ke tingkat empat. Rumah sewa aku.       
Kening terangkat seinci bila melihat rumah kosong, senyap sunyi. Aku ingatkan, aku yang paling lambat balik.
Pintu bilik ditolak dengan sebelah tangan. Semua barang dan buku yang aku bawa tadi diletakkan di atas katil.
Bersepah.

‘Nani, perfume yang kau order haritu dah sampai. Esok dah boleh collect.’

Mesej daripada pengedar minyak wangi inspired De’Xandra itu aku baca sebaik sahaja aku duduk di atas katil. Sebelum ni tak pernah pun aku ambil stok banyak-banyak, tapi disebabkan expo minggu depan, terpaksa aku ambil banyak sikit.
Pilih yang bestseller dan yang bau aku suka. Minyak wangi inspired guna pati pekat yang membuatkan bau dia tahan lama setanding original. Itu yang aku suka. Bau pun memang sama dengan ori.
Aku rebahkan badan ke atas katil. Minggu lepas, aku dah minta tolong Paan ambilkan sekotak selendang baru dekat poslaju. Takkan nak minta tolong dia lagi.
Elok saja tangan meleraikan tudung dari kepala, telinga menangkap bunyi pintu rumah dibuka dari luar. Anak mata terus berlari ke ruang tamu, melihat gerangan yang membuka pintu tadi. Sekarang jam dah hampir enam petang. Selalunya semua kelas dah habis.
Kelibat Anis memenuhi ruang retina. Spontan aku senyum. Lama aku pandang Anis yang baru saja meletakkan meletakkan beg sandangnya di atas meja belajar.
“Anis, nak minta tolong kau pergi KL esok, boleh? Nak ambil stok perfume.” Aku melaung dari dalam bilik. Beberapa saat kemudian, Anis menjenguk ke dalam.
“Ingatkan tak ada orang dekat rumah.”
Boleh nampak yang dia terkejut bila ditegur tiba-tiba.
“Aku pun baru je balik.” Aku sengih nipis bila dia melangkah mendekati pintu bilik.
Dalam rumah ni, hanya Anis yang ada kereta sendiri. Selain Paan, selalu jugak aku minta tolong dia ambil stok bila terdesak. Contohnya macam sekarang. Kalau nak pakai Ego aku, memang boleh pecah botol-botol perfume yang ada.
“Pagi aku ada hal. Petang, boleh?”
Laju aku mengangguk. “Anytime kau free.”
“Okay, dalam pukul tiga macam tu.” Anis buat keputusan. Inilah yang aku suka pasal Anis. Sungguh tak berkira.
Dia terus ke bilik bila aku mengangkat tangan, tanda ‘OK’.
Selesai satu kerja.


SEJAK KEJADIAN terkunci motosikal tu, dah hampir seminggu aku tak jejakkan kaki ke cafe. Sebab utama, tak nak jumpa Tri. Sebab kedua, minggu ni tersangatlah sibuk. Ada tiga test yang memang perlukan perhatian (kalau aku tak nak gagal lagi) dan juga group assignment yang mana aku wajib ikut buat sama dekat perpustakaan.
Tempat yang senang untuk semua berkumpul.
Sehinggalah hari Jumaat menjelma, aku mampu tarik nafas lega. Mungkin sebab inilah kot orang suka bila hari Jumaat tiba. Sebabnya, esok cuti!
“Nani!”
Mulut aku hampir ternganga waktu Ana melambai dari rak buku rujukan calculus perpustakaan. Baru semalam dia request friend balik dekat Facebook dan sampai sekarang aku tak approve lagi.
Biar la lama sikit.
Siapa suruh block aku, kan?
“Rajinnya kau. Dah dekat pukul empat ni, ada kelas ke kejap lagi?” dia terus duduk di sebelah aku sebelum meletakkan buku ke atas meja. Handphone yang dipegangnya dari tadi diletakkan di tempat yang sama.
Aku sekadar menggeleng, menjawab soalan dia. Kalau nak dikira, sejak dia block aku tempoh hari, hari ni baru dia tegur aku. Sebelum ni jumpa dekat cafe fakulti pun dia boleh buat tak kenal.
“Kau?” tanya aku sepatah. Sebenarnya, aku malas nak panjangkan cerita. Malas nak tanya kenapa sampai nak block aku dekat laman sosial tu. Jiha, Acap dan Sofia yang memandang dari tadi sedikit sebanyak membataskan soalan aku.
Kalau aku dengan dia je, mahunya sampai ke akar umbi aku siasat. Kenapa block aku? Kenapa minta putus dengan Paan? Kenapa kau berubah?
Soalan-soalan tadi berlegar di kepala.
“Aku baru nak balik. Paan call tadi, dia tunggu dekat luar library.” Aku nampak dia senyum segaris.
Okay, jadi dia tak jadi nak minta putus dengan Paan? Macam tu?
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil melihat dia yang tersenyum di kerusi depan. Ana... Ana. Senangnya nak putus, lepas tu sambung balik.
“Oh, okay. Aku ada assignment lagi yang nak kena buat.”
Dia membuang pandang ke arah kertas dan buku yang berselerakan di atas meja enam kerusi itu. Sesekali dia senyum nipis sebelum kembali memandang wajah aku.
Kenapa?
Kelakar sangat ke kalau berbincang sambil buat assignment?
“Rasanya semalam Paan dah siapkan semua. Aku cam gambar process flow tu.” Jari telunjuknya tepat pada process flow diagram untuk penghasilan DiMethyl Ether pada dada buku di tengah-tengah meja. “Kau punya tak siap lagi?”
Almost.” Aku menjawab pendek. Jiha dan Sofia memandang sesama sendiri. Cuma Acap sahaja yang tak ambil pusing. Khusyuk habiskan bahagian dia.
Bunyi whatsapp yang diterima membuatkan semua mata terfokus pada handphone di atas meja. Ana menjelingnya sekilas sebelum bingkas dari kerusi. “Aku balik dululah. Bye.”
Aku senyum, mengangguk. Langkah Ana keluar turun ke tingkat bawah dipandang dengan perasaan berbaur.
“Ana, kan?” Jiha bersuara tiba-tiba.
Laju aku mengangguk. “Kenal ke?”
“Selalu nampak dengan kau.” Jiha senyum. “Awek Paan, kan?”
Aku sengih. Sekali lagi aku angguk. Memang betul pun dia awek Paan.
Course apa?”
Electric.” Aku menjawab sepatah. Electric untuk Electrical Engineering.
“Oh...” Jiha mati kata.
“Kenapa?”
Dia menggeleng dengan senyuman.
“Jom siapkan cepat. Aku nak balik tidur.” Jiha sengih. Acap dan Sofia mengangguk, setuju.
Aku pandang dia pelik. Tapi, walau apa pun yang Jiha tengah fikir, idea dia untuk siapkan semua ni cepat tu, aku setuju. Lamanya tak rasa tidur dengan aman.
Weekend, here I come!


KETENANGAN hujung minggu yang aku nantikan hancur sama sekali lepas aku menjawab panggil Kak Hasya. Macam mana aku boleh lupa yang Expo Festival Makan-Makan tu akan berlansung minggu ni!
“Aik, takkanlah kamu pun boleh lupa, dik? Yang aku tahu, kau akan semangat bila keluar bab-bab menjual ni.” Kak Hasya masih ketawa.
Memang aku semangat. Perfume pun dah ambil. Selendang pun dan ready stok. Tapi benda penting aku lupa. Makanan!
Nama pun festival makan, jadi syarat utama adalah setiap booth diwajibkan ada jual makanan. Dan aku lupa nak tempah kek dekat Iris Cake House! Nasib baiklah Kak Hasya ingatkan.
Sempat la kot buat sebelum festival esok.
“Nanti akak suruh Nas dengan Iqa buatkan. Kau nak kek apa untuk esok? Atau, kau nak akak yang cadangkan?”
Aku diam berfikir. Kalau kek dah biasa sangat. Siapa je yang tak pernah makan cheese cake. Red velvet semua dah rasa. Chocolate cake pun dan mainstream sangat...
“Nani?”
“Ye kak.” Aku menggigit bibir sendiri, masih mencari idea. “Kalau congo bars?”
Congo bars. Tak seperti brownies, benda ni masih baru. Sekurang-kurangnya, baru bagi aku. Lagipun, tak semua kedai kek ada jual congo bars. Kalau brownies tu dekat mana-mana pun boleh dapat. Boleh kata setiap kedai kek pun ada jual.
Congo bars?”
Aku mengangguk laju walaupun aku tahu Kak Hasya tak nampak.
“Haah. Boleh, kan?”
“Benda tu je? Lain?”
“Yang penting saya nak congo bars. Buatlah tiga empat loyang ke. Lepastu yang lain-lain akak pilih, saya jualkan aje.” Aku senyum sendiri. Bukan apa, mesti ada orang yang macam aku. Yang tak suka kek manis. Yang tak suka kek yang boleh buat muak.
“Okey. Nanti akak bagitahu Fitri. Kau pegi cafe petang ni dan bincang dengan dia sekali. Akak dah paksa dia temankan kau dekat booth esok.”
What? Come again?
“Okay, I’ve got to go. Baby nak susu. All the best esok. Jangan lupa singgah cafe.” Talian terus diputuskan sebelum sempat aku menjawab.
Biar betul Kak Hasya suruh adik dia tu temankan aku?
Handphone ditangan aku pandang lama sengan keluhan yang terkeluar tanpa dipaksa. Kenapa mesti Tri? Kenapa bukan Kak Iqa ke... Abang Nas ke...
Kalau suruh Ajim teman, lagi best.
Tapi tak boleh! Ajim ajelah yang pandai bancuh kopi dekat situ.
Aku mengeluh lagi. Tanpa menunggu lama, motosikal dihidupkan dan aku terus membawa arah ke cafe Kak Hasya.
Sampai di depan kedai, aku menarik nafas dalam-dalam. Lama aku berdiri di depan pintu. Memandang papan tanda Iris Cake House yang ditulis dengan tulisan Jenny Sue berwarna kuning keemasan. Kemas, berangkai dan cantik.
Pandang saja tanda ‘Open’ yang tergantung pada pintu kaca, aku tarik nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatan. Bukan senang nak senyum depan orang yang aku tak suka.
Aku merapati pintu sebelum menghulurkan tangan untuk menolak daun pintu ke dalam.
Dum!!
Sesaat masa, aku terjatuh ke belakang. “Awh!” Aku menjerit juga tanpa dipaksa. Sakitnya dahi aku!
Aku angkat kepala, memandang makhluk yang menolak pintu kaca dari dalam tadi.
Dia lagi!
“Sakit ke?” Wajah Tri nampak serba salah. Tapi dia tahu tak yang soalan dia tu soalan bodoh? Dah sah-sah aku mengaduh sakit tadi. Takkanlah sebab aku suka? Heh.
Aku bangun dari kaki lima sambil menepuk punggung seluar yang berdebu. Kepala sakit. Punggung sakit.
“Manalah aku tahu ada orang dekat luar.” Dia membela diri.
Aku hanya diam, menjeling. Baru saja aku nak pujuk hati, nak berbaik. Ini pulak yang jadi.
“Kau okey tak ni?” soal dia lagi.
“Dia tulis apa ni?” Tanpa menghiraukan soalan dia, jari telunjuk aku tepat pada pelekat yang dilekatkan pada pintu.
Dia turut sama memandang perkataan ‘Tolak’ pada pintu.
“Tolak.” Jawab dia selamba.
Kemudian, aku melangkah masuk ke dalam. Dia hanya menurut dari belakang. Ajim yang ingin menegur dari meja pelanggan terdiam sendiri bila melihat wajah mencuka aku.
Kali ini, aku pandang wajah Tri lama. Sekali lagi jari telunjuk aku melurus pada pelekat yang ditampal itu.
“Ini?”
“Tarik. So? Nak cakap apa sebenarnya ni?” Dia melipat kedua-dua tangan ke dada.
Aku mendengus perlahan. Nak cakap apa konon. Ingat aku nak sangat buka pelajaran Bahasa Melayu dekat sini?
“Dah tu yang awak ‘Bijak’ sangat, pergi TOLAK apa kes?”
Dia terdiam. Sempat aku menjeling sebelum membawa kaki ke meja paling tepi. Tempat biasa.
“Tak sengaja la. Itu pun nak marah ke.” Dia turut sama duduk di meja yang sama.
“Tak sengaja tu, ya. Tapi takkan payah sangat nak ucap perkataan ‘maaf’?”
Dengan tak semena-mena, Tri ketawa kuat. Sesekali dia menggeleng sambil memandang aku yang masih mencuka.
“So, satu-satu kan?”
Satu-satu? Aku pandang dia pelik.
You’ve locked my motorcycle. And I...”
“Dan awak balas dendam, humban saya keluar dari cafe...” Aku menyambung.
“Tak sengaja la.” Dan cepat juga dia memotong.
Nak tak nak aku ketawa juga. Aku sendiri lupa yang aku tak minta maaf pun lepas terkunci motosikal dia dulu.
“Sorry.” Dia sengih.

“Sorry.” Dan aku tersenyum tanpa dipaksa.  

No comments: