Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 16]


[Bab 16]

DUA MINGGU di kampung sedikit sebanyak membuatkan fikiran aku kembali tenang. Walaupun Ifa masih sibuk dengan persiapan majlis kahwin dia, sempat jugak aku tarik dia ke sawah padi yang terletak di hujung kampung.
Kadang-kadang aku tarik adik bongsu aku masuk kebun arwah ayah, kait buah rambutan.
Nasib baiklah mak upah orang mesin rumput dan lalang yang dah hampir setinggi lutut tu. Kalau tak, sampai sekarang aku tak berani nak masuk.
Orang yang mesinkan rumput pun, bukannya orang lain. Paan jugak.
Memang calon menantu mak-mak sungguh si Paan nih.
“Cuti kali ni berapa lama?” Soalan daripada mak aku tiba-tiba mematikan lamunan.
Tangan yang sibuk mengupas kulit rambutan yang dikait dari pokok untuk Anip, adik bongsu aku itu terhenti sesaat. Aku membuang pandang ke arah mak yang sibuk menyapu sampah di halaman rumah.
Mak aku, Puan Rabiah memang popular dekat kampung ni sebab maklah satu-satunya tukang jahit yang ada sejak berpuluh tahun dulu. Bukan setakat orang kampung aku, orang kampung sebelah pun kenal.
Jadi, kalau aku cakap aku anak Puan Rabiah, semua orang tahu.
“Sebulan lebih je mak.”
“Cuti ni tak meniaga ke? Mak tengok tak ada pun kau bawak balik barang.”
Aku mengeluh tanpa sedar. Sebenarnya, aku dah hilang minat nak berniaga dek kejadian tempoh hari. Sungguhlah aku serik.
Tak pernah pun dalam hidup ni aku kena ‘bambu’ macam tu sekali. Itupun nasib baik dia orang tak tahu Facebook peribadi aku. Kalau tak, aku tak boleh nak bayangkan apa yang jadi.
Mampu ke aku menyorok kalau gambar dalam Facebook peribadi aku sama jadi viral?
Sebut pasal ni, aku lupa nak WhatsApp nama Facebook aku pada Tri! Aiseh.
“Kamu dah tak meniaga ke?”
“Ada jugak sikit-sikit.” Jawab aku perlahan.
“Hmm, kamu tahu kan mak tak mampu nak beri kau belanja banyak. Setakat jahit baju dekat kampung ni apa sangatlah yang mak dapat. Sekolah adik kamu lagi.”
Aku diam tak menjawab. Dah selalu sangat aku dengar tu. Selama ini pun, aku hidup dengan duit pinjaman PTPTN sampai akhir semester. Kalau dah terdesak snagat baru aku minta dekat mak.
Dan sebab itulah aku mula berjinak-jinak untuk berniaga secara online. Mula-mula secara kecil-kecilan. Tapi bila dah ramai yang kenal kedai aku, aku mula daftar perniagaan dan buat secara besar-besaran.
Tapi tu beberapa bulan lepas punya cerita.
Sekarang ni, nak dapat sepuluh pelanggan pun payah. Sebab itulah aku langsung tak bawa balik stok ke kampung. Lagipun, pengedar-pengedar tu sendiri tak nak aku jual barang diaorang lagi.
Termasuklah Kak Hasya.
Apa yang mampu aku buat selain lupakan Nani Mini Shop tu?
Keluhan terkeluar juga tanpa sedar.
“Kak, dah habis. Nak lagi.” Anip merengek bila kesemua rambutan yang dah aku kupas tadi habis dimakan. Tumpuan aku kembali pada Anip yang masih bersila di depan. Setangkai lagi rambutan jenis ‘anak sekolah’ seperti yang dipanggil oleh orang-orang kampung dicapai dari guni beras di tepi tangga.
Beberapa ekor semut yang merayap di seluar track yang aku pakai ditepis laju. Anip baru sahaja lapan tahun. Manja dia punyalah memeningkan kepala. Tak padan dengan lelaki, rambutan pun nak jugak aku kupaskan.
Wahai Anip, akak kamu ini darjah satu pun dah ikut ayah masuk kebun, tahu? Heh.
“Masuk nanti dah akhir kan?”
Kupasan aku terhenti. Perlahan-lahan aku mengangguk. Sikit pun aku tak berani nak pandang muka mak.
“InsyaAllah, mak.” Jawab aku perlahan. Air liur yang ditelan terasa pahit.
Memang aku harap sangat semester depan semester akhir aku. Aku harap sangat kertas calculus aku lulus. Juga subjek-subjek ulangan aku yang lain.
Siapa nak tanggung aku lagi satu semester kalau aku kena extend? PTPTN pun sampai semester depan je.
“Kak, telefon.”
Terbang terus ingatan aku pada PTPTN. Aku pandang Anip sesaat.
“Telefon?”
Aku nampak dia mengangguk laju.
Kali ini barulah telinga menangkap bunyi caller ringtone baru yang aku tukar semalam. Betullah, Xiaomi Note aku yang berbunyi.
Padah sungguh bila selalu tukar caller ringtone sendiri. Selalu lupa!
Cepat-cepat aku bangun sambil mengesat tangan yang melekit dek jus rambutan pada seluar sendiri. Kening aku bertaut bila membaca nama pemanggil.
Mila. Salah seorang dari budak rumah aku selain Anis, Sirah dan Zati.
“Kitaorang dah kumpul duit sewa rumah.” Mila bersuara sebaik sahaja dia memberi salam. “Kau aje yang belum. Nanti bank in dekat aku macam biasa.”
Sorry Mila, aku lupa!” Dahi ditepuk berkali-kali. Macam mana aku boleh terlupa sewa rumah bulan ni?
“Aku called ni pun sebab aku tahu kau lupa.”
Aku sengih bersalah. Memang pun aku selalu lupa. Aku yakin dan pasti budak-budak lain pun dah marah aku. Mana taknya, tuan rumah memang selalu bising cakap kami bayar lambat. Padahal aku aje yang selalu terbabas tarikh. Orang lain selalu saja on time.
“Lain kali ingat. Takkan asyik nak aku ingatkan je. Kita menyewa ni kena sedar diri sikit. Kena ikut cara tuan rumah.”
Dahi aku berkerut mendengar nada suara Mila yang dah berubah. Apahal pulak ni? Bukan ke aku dah cakap yang aku lupa. Bukannya aku sengaja.
Lagipun aku memang banyak masalah yang kena fikir sebelum exam hari tu.
“Lain benar bahasa kau kali ni. Kan aku dah minta maaf.”
“Sebenarnya aku tak sukalah ada budak rumah macam kau ni.”
Aku ternganga sendiri. Tak percaya. Sekali lagi aku memandang skrin telefon bimbit di tangan. Betul. Ini Mila, budak rumah aku.
Tapi kenapa lain sangat dia hari ni?
“Kau ni kenapa sebenarnya? Tiba-tiba nak marah aku?” Mila ni pun, aku lewat bayar sewa rumah ajepun. Bukannya tak nak bayar langsung.
“Kau tahu kan peraturan rumah kita, no men allowed.” Mila masih berteka teki.
“Ye. Aku tahu. So?”
So, kau boleh buat bodoh selamba bawak jantan masuk rumah kita tu kenapa? Dah la selalu bawak lepak depan rumah. Sebabkan kau, satu rumah kita kena umpat dengan jiran-jiran sebelah, kau tahu tak?”
Astaghfirullahal ‘azim. Apa pulak yang jadi ni?
Bila masa pulak aku...
Kejap.
Takkanlah sebab Paan angkat beg sebesar anak gajah aku sebelum balik kampung hari tu?
Memanglah waktu tu tak ada seorang pun housemate aku, tapi isteri Abang Faris tu ada sama kot! Dan Paan hanya angkat beg tu dari muka pintu. Bukannya sampai masuk dalam bilik aku!
“Mila, aku rasa kau dah salah faham ni.” Aku cuba bertenang. Tak guna jugak aku nak menjerit melolong minta Mila diam. Aku tak ada bukti nak cakap yang aku tak salah.
“No. I don’t think so. Kau ingat seronok ke tiap-tiap kali balik lab telinga kau dengar umpatan orang rumah sebelah? Kau ingat seronok ke kalau rumah kita ni di cop rumah perempuan murah?”
“Mana kau dengar ni, Mila? Kenapa nak tuduh aku pulak ni? Kau nampak sendiri dengan mata kau?” Suara aku naik satu nada. Geram.
“Kalau bukan kau, siapa lagi? Anis, Sirah dengan Zati tak pernah pun bawa kawan lelaki sampai tingkat rumah kita ni. Kau je.”
Aku mengeluh kasar. Sebab itu je. Sebab Paan pernah naik sekali dua untuk bagi aku assignment. Kadang-kadang bagi aku nota.
Sekali dua.
Yang selebihnya, Paan banyak tunggu dekat bawah.
Itu pun jadi isu jugak?
“Malas aku nak cakap banyak dengan kau. Duit sewa tu bank in hari ni. Esok aku nak transfer dekat tuan rumah.” Mila terus menamatkan talian sebaik sahaja ayat dihabiskan.
Aku termenung panjang dengan telefon bimbit di tangan. Padan muka kau, Nani. Dah tahu itu rumah perempuan, ajak jugak Paan angkat barang tu. Sekarang kau jugak yang susah.
Keluhan terlepas juga. Lepas satu, satu benda yang jadi.
Apa nak jadi dengan kau, Nani?


LAMA AKU MENUNGGU Paan di atas tangga rumah mak long. Malam ni, hanya aku dengan Paan sahaja yang ada. Ifa sibuk dengan persiapan nikah dia yang bakal berlansung bulan depan.
Awal-awal lagi aku ajak anak-anak Kak Husna bermain di atas tangga. Jadi peneman. Walaupun pintu rumah mak long memang terbuka luas, tapi mulut orang susah nak jangka. 
Aiman dengan kereta control dia. Fatin pula dengan anak patung dia. Sesekali aku ketawa bila kedua-duanya bergaduh.
“Lama tunggu?”
Aku mengangkat muka dari Fatin dan Aiman yang khusyuk bermain. Paan terus duduk di hujung tangga sebelum melurutkan kopiah putih dia. Rambut yang masih basah dek wudhuk tadi di kuak ke belakang sebelum kopiah tadi diletakkan semula di kepala.
Habit.
“Tak jugak.”
“Ada apa panggil aku?”
Aku diam sesaat. Tak tahu nak mula macam mana sebenarnya. Awal-awal tadi, aku nak sangat Paan tolong jelaskan pada Mila dan budak-budak rumah yang lain. Tapi bila difikirkan balik, campur tangan Paan boleh membuatkan kes ni makin keruh.
“Sebelum kau cakap apa-apa, meh aku nak cerita benda baik.” Paan mencipta senyum sambil bersila. Kepala Aiman yang duduk berhampiran dengan dia digosok perlahan.
“Apa dia?”
“Aku dah minta mama dengan abah pinang Ana. Dan mama dengan abah setuju.”
Lidah aku kelu tiba-tiba. Lama aku pandang wajah Paan yang masih tersenyum di hujung tangga.
Bertenang Nani, bertenang. Kekalkan senyuman dan tanya balik apa yang dia cakap tadi. Jangan gelabah. Mana tahu kau salah dengar ke.
“Apa?” Sedaya upaya dia mencipta senyum manis perisa gula sambil memandang ke arah lelaki di hadapan yang masih lagi ketawa bahagia.
Tolonglah Paan, janganlah kau ulang apa yang kau cakap tadi. Tolonglah jangan.
Aku harap sangat yang aku salah dengar.
“Mama dengan abah setuju nak pinang Ana minggu depan!” Paan mengulang pernyataannya tadi dengan nada yang lebih gembira.
Aku hampir terjatuh dari tangga.
Takkanlah…
“Aku tahu, kau mesti takkan percaya punya. Can’t you believe it?!”
Aku hampir pitam. Segala rasa menerpa perut menjadikan ia berkecamuk dan bergelora. Jadi, aku tak salah dengar? Betullah Paan nak pinang Ana? Betullah dia dengan Ana nak kahwin? Dia nak kahwin?
“Aku tahu kau akan terkejut. Alah, tunang je dulu. Kahwin mungkin habis semester depan.” Paan masih lagi rancak bercerita.
Berkali-kali aku menelan air liur, menahan gelora dalam hati.
“Bukan ke korang baru baik dari gaduh? Dan er, tak cepat sangat ke?” Aku masih memaniskan muka. Cuba bertenang dan tak gelabah dengan pengakuan dia.
Tapi kenapa aku rasa baru sekarang aku cemburukan Ana?
Kenapa baru sekarang aku sedar yang Paan milik Ana?
“Kan aku dah cakap. Kami tunang je dulu. Habis belajar nanti boleh kahwin terus. Lagipun, kita dah cecah 24 tahun, Nani. Tak adalah muda sangat pun.”
Aku menampal senyum plastik. Masih tak percaya. Mana mungkin Paan nak pinang Ana lepas dia tanya soalan maut pada aku dulu?
Paan membuang pandang ke arah Aiman dan Fatin yang sudah turun bermain di laman rumah. Tanpa sedar, aku melepas nafas perlahan. Paan yang sekarang masih sama dengan Paan yang aku kenal dahulu. Sedikitpun tak berubah.

“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?”

Soalan Paan dulu kembali menjengah memori. Menyanyi-nyanyi ulang ayat sama. Bukan sekali. Bukan dua kali.

“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?”

“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?”

“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?”

Bodohnya kau Nani! Kalaulah kau cakap nak je haritu kan senang cerita. Tak adalah si Paan ni pergi pinang Ana tu.
Tapi, bukan ke soalan Paan tempoh hari tu gurauan aje?
Dan, aku betul-betul nak ke?
Aku betul-betul jadi orang ketiga?
“Nani oi. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”
Wajah Paan kembali memenuhi retina. Aku tersengih sendiri tanpa sedar. Kekok. Aku tahu dia tak patut rasa cemburu walhal aku sedia tahu yang Paan dengan Ana memang dah lama bercinta.
Cuma aku aje yang tak boleh terima.
Sehinggalah apa yang Paan cakap tadi.
 “Kau cakap apa?”
“Kau bila lagi? Aku dah booked tahun depan. Kau tu jangan tunggu lama-lama. Abang dekat cafe tu pun dah syok dekat kau.” Paan senyum lagi.
Wahai Paan, kau tahu tak betapa remuknya hati ni bila dengar berita yang kau nak kahwin dengan Ana?
“Bosanlah kau ni Nani. Aku cerita kau tak ada respon pun.”
Sorry.” Aku tayang gigi. Rasa bersalah sebenarnya. Salah ke kalau aku rasa tak gembira dengar berita ni? Salah ke kalau aku harap perkahwinan Paan takkan jadi?
Aku menarik nafas dalam-dalam. Wajah Paan yang sudah berubah matang dipandang lama. Dari kopiah putih di atas kepala, baju melayu, jeans gelap sehinggalah ke selipar jepun biru terang di kaki.
Wajah inilah yang teman hidup dia selama 24 tahun aku hidup dekat kampung ni. Dari tadika sampailah sekarang.
Teman bergaduh, teman belajar.
Tapi sekarang, Paan dahpun melangkah setapak ke depan. Bertunang, dan akan kahwin.
“Hei, say something.”
Riak muka Paan yang bercahaya aku pandang dengan rasa sakit pada jiwa. Sedaya upaya aku menarik bibir melakar senyum sebelum menjawab,
“Tahniah.”








 ****

No comments: