Thursday 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 15]


[BAB 15]


DUA MINGGU yang penuh dengan kerja keras. Walaupun kadang-kadang disulam juga dengan cerita Running Man. Dua minggu ikat perut dengan hanya menjamah biskut dan teh o panas walaupun kadang-kadang terbabas juga nasi ayam lemon ke dalam perut.
Dua minggu tidur hanya tiga empat jam, walaupun kadang kala terlajak sehingga lapan ke sepuluh jam sehingga terpaksa qada’ solat subuh!
Habis.
Dua minggu yang menyiksakan dah selamat aku tempuh. Dan apa yang penting, aku berjaya!
Okay, bukanlah nak kata aku berjaya jawab semua kertas peperiksaan akhir aku dengan jayanya tapi sedar tak sedar, habis pun bulan yang menyiksakan ni.
Hati dah berkobar-kobar nak balik rumah.
Dah tak sabar nak balik kampung jumpa semua orang kampung dan lepak dengan Paan depan rumah mak long.
Yang penting, tanpa Ana!
No.
Aku bukannya cemburu dengan Ana tu. Tak.
Tapi, sejak dua menjak ni, pandangan Ana lain sikit. Tipulah kalau aku tak perasan yang dia dah berubah lepas Paan banyak tolong aku dalam belajar. Tipulah kalau aku tak sedar yang dia dah berubah bila jumpa kawan-kawan lain, yang lebih happening dan banyak duit untuk berbelanja sini sana berbanding aku yang selalu sengkek, bergantung pada perniagaan aku tu aje.
Dan tipulah kalau aku tak tahu yang dia cemburukan aku.
Tapi apa boleh buat?
Aku dengan Paan memang kawan dari zaman tadika. Tak ada benda yang boleh ubah benda tu.
Takkan aku nak larikan diri dari Paan semata-mata pandangan tajam Ana tu?
Kan?
Bunyi Xiaomi Note menjerit nyaring lagu baru Taylor Swift mematikan monolog dalaman aku. Aku menjeling ke arah nama yang terpapar pada skrin sekilas sebelum menarik sengih lebar.
Paan.
Kan aku dah cakap, tak ada siapa boleh ubah persahabatan aku dengan Paan.
“Kenapa?” soal aku sebaik sahaja talian bersambung. Tangan yang sibuk mengemas baju-baju ke dalam beg dari tadi terhenti. Sempat aku bersandar pada katil sebelum membetulkan urat pinggang.
Lenguh!
“Abang Faris tanya, kau nak tumpang balik kampung sekali tak?” Suara Paan kedengaran sayup-sayup dari hujung talian. Ini tak lain, tak bukan, dia tengah bawak motosikal.
Ini lagi satu yang aku paling tak suka pasal Paan ni. Macam mana dia fikir selit telefon pada helmet, dan telefon orang sambil bawak motosikal tu tak bahaya?
Dah lebih seratus kali aku marah dia rasanya. Tapi semua ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Langsung tak tinggalkan kesan.
“Kau berhenti tepi jalan dulu, boleh tak? Aku tak dengar.” Walaupun setiap perkataan yang Paan cakap tadi, otak aku boleh tangkap, tapi aku sengaja buat-buat tak dengar.
Sengaja.
Biar Paan reti sikit yang cakap telefon sambil menunggang motosikal tu tak valid.
Bahaya.
“Hah, dengar tak?” Kali ini suara dia jelas tanpa desiran angin.
Aku sengih nipis. Berjaya jugak buat dia berhenti.
“Kau cakap apa tadi?”
“Abang Faris tanya, kau nak tumpang balik sekali tak?” ulang dia lagi.
Sengihan aku makin lebar. Abang Faris. Abang sulung Paan. Oleh sebab Abang Faris memang tinggal dekat Shah Alam ni, jadi hampir setiap kali balik cuti semester atau cuti hari raya dia akan tumpangkan aku sama.
Lagipun, kereta Alza dia tu muat sangat kalau nak sumbat aku lagi sorang sebab Abang Faris dengan isteri dia, Kak Ain belum ada rezeki timang anak.
“Bila?”
“Esok pagi.”
Aku diam sesaat. Report untuk Research Project 1 aku dah hantar pagi tadi. Design Project 1 pulak minggu lepas lagi dah selamat menyerah ke atas meja Dr. Zainun. Dr. Zainun adalah isteri kepada Dr. Mahmud. Beruntung dia orang suami isteri dapat mengajar di universiti yang sama. Fakulti sama pulak tu.
“Bolehlah. Aku tumpang sekali.”
“Okay. Esok lepas subuh kami sampai.”
“Hah?” Takkanlah lepas Subuh terus? Ketawa Paan dari hujung talian membuatkan aku mencebik lebar. Main-main la ni.
“Pukul sepuluh pun lepas subuh jugak, kan?”
“Bodohla kau ni.”
“Suka sangat nak bodohkan orang.”
Aku sengih bersalah. Memang tak elok pun selalu cakap benda-benda negatif. Contohnya itulah; Bodoh. Gila.
Tapi entah. Zaman moden ni, bila makin urban perkataan tu diucap, makin nampak gah. Bila makin negatif ayat tu, makin nampak hebat.
Sungguhlah dunia ni dah terbalik.
Thanks Paan.”
Takde hal. Macam kau tak biasa.”
Senyuman aku masih bersisa. Sebenarnya aku belum pun beli tiket balik kampung. Memang aku tunggu Abang Faris offer, macam selalu.
Macam mana kalau Abang Faris tak offer?
Aku tahu Paan akan ingatkan abang dia tu. Aku tahu.


HOME SWEET HOME!
Aku leretkan senyuman saat badan direbahkan di atas sofa lama di ruang tamu. Perjalanan hampir lapan jam ke kampung aku memang mampu membuatkan segala urat saraf lemah.
Nasib baiklah kerusi kereta Alza Abang Faris tu besar dah selesa. Boleh jugak aku tidur dengan amannya walaupun ada Kak Fiza dekat kerusi sebelah.
Aku menarik nafas dalam-dalam dan lepaskannya perlahan-lahan. Siling rumah yang sudah bertukar warna hampir kelabu itu aku pandang lama.
Walaupun rumah aku tak adalah sebesar dan semewah mana, tapi perasaan bila ada dekat rumah sendiri tu lain.
Patutlah orang boleh cipta frasa ‘Rumahku Syurgaku’ tu.
Memang heaven!
Nak pulak dengan semua kes yang dah jadi sejak dua menjak ni. Memanglah otak aku perlu rehat dari segala benda yang boleh buat aku gila.
Tak sabarnya nak ajak Ifa pergi bendang dekat hujung kampung!
Dusun arwah ayah pun rasanya dah berbuah. Boleh nampak dari tingkap kereta Abang Faris waktu melalui kawasan dusun tadi.
Tak sabar!
“Nani!!!”
Aku terloncat dari sofa bila suara nyaring memanggil dari luar rumah. Bila kepala mula menghadam milik siapa suara tadi, spontan aku menggeleng laju.
Tak lain tak bukan, Ifa
“Nani!” Ifa sudah pun memanjat anak tangga dan masuk ke dalam rumah. Aku tersengih sumbing melihat Ifa yang hanya berseluar trek gelap dan tshirt lengan panjang yang terus duduk di depan sofa. “Assalamualaikum makcik!” Sempat dia mencipta senyum segaris kepada mak aku yang berada di dapur.
Masak makan malam.
“Kau ni dah nak jadi bini orang pun boleh selamba menjerit gaya pontianak hilang anak.”
Ifa ketawa lepas.
Aku bangun dari baringan dan duduk menghadap Ifa yang sudahpun jadi tunangan orang dua bulan lepas. Ifa tak apalah, dah kerja sendiri. Dah lama pegang duit sendiri. Kalau nak kahwin bila-bila masa pun dah tak ada hal.
“Kau tak cakap pun nak balik, kan? Tak sempat aku nak bentang karpet merah sepanjang jalan kampung kita ni.”
“Kau ingat aku Datuk Bandar ke apa nak kena guna red carpet bagai?”
Ifa ketawa lagi. Riuh betul rumah aku dengan suara ketawa dia.
“Kau balik dengan apa ni? Dengan abang ipar kau?”
Sekali lagi aku menggeleng. Ifa ni memang sejak sekolah rendah dia panggil Abang Faris tu abang ipar aku.
Nak sangat aku berjodoh dengan si Paan. Bukannya aku tak pernah cerita yang Paan dah ada awek dekat uni tu.
“Abang ipar tak jadi.” Selamba aku menjawab dengan sengihan. “Cukup-cukuplah dengan abang ipar tu. Dengar dek si Paan tu buat malu aku je. Karang dia ingat aku syok dekat dia pulak.”
“Tak ke?” Ifa senyum sumbing.
Aku cebik. Membalas. Malas nak layan usikan Ifa.
Okey, okey. Paan dah ada awek. Nama awek Paan tu Ana. Kawan kau. Kan?” Sepatah-sepatah dia mengulang kembali cerita aku dulu.
Ingat pun!
“Alah, aku dah terbiasalah. Lagipun Abang Faris tu rilax je bila aku panggil dia abang ipar kau.”
Rilax tak rilax, aku tak suka.”
“Kau ni pun, masuk rumah langkah kiri ke apa? Moody semacam je.” Kening Ifa terangkat tinggi sambil menilik wajah aku lama.
Aku melepas nafas perlahan. Nak bercerita, tak tahu macam mana nak mula. Lagipun, Ifa sendiri dah ada banyak masalah dengan majlis nikah dia nanti. Aku tak nak cerita aku menambahkan masalah dia pulak.
Cukuplah dia stress dengan persiapan majlis kahwin dia itu je.
“Malam ni lepak dekat rumah Mak Long aku, nak?” Aku tukar topik. Sengaja mengembalikan memori zaman sekolah dulu-dulu. Duduk dekat tangga besar rumah mak long sambil bercerita tentang diri sendiri. Maklumlah, masuk sekolah menengah, semua dah tercampak di sekolah yang berlainan. Masing-masing ada cerita sendiri. Masing-masing ada pengalaman sendiri.
Mak long pulak, tiap kali kita orang lepak, dia selalu keluarkan teh o panas. Tak pun, air kopi. Kak Husna, sepupu aku pulak suka bila cekodok yang dia masak tu kami habiskan.
Mana tak habis, sambil bercerita, sambil mengunyah!
“Ajak Paan sekali?” Mata Ifa bersinar.
Aku mengangguk. “Kau bawak biskut.”
“Set!


SELESAI SOLAT MAGHRIB, aku menyikat rambut yang sudah panjang ala kadar sebelum mengikatnya menjadi ekor kuda. Tudung syria disarungkan melepasi muka. Bila dah rasa kemas, aku senyum sendiri di depan cermin.
“Mak, nak pergi rumah mak long kejap.” Aku melaung kepada mak yang masih di tikar sejadah. Mengaji.
Belum sempat aku menarik pintu utama, telefon bimbit berbunyi kuat menandakan WhatsApp baru masuk. Laju saja tangan menyeluk saku seluar track sebelum mengeluarkan Xiaomi Note yang masih bercahaya.

0119xxxxxxx
‘Bagi Facebook, nak tag something.’

Aku termenung depan pintu. Nombor siapa pulak ni? Tiba-tiba pulak minta Facebook aku. Dahlah aku dengan Facebook ada kenangan mengguris jiwa. Heh.
Aku menjeling tarikh dan masa pesanan tadi dihantar. Pukul 5.35 petang tadi. Kenapa sekarang baru nak masuk?
Pintu rumah ditutup rapat. Telefon bimbit kembali disimpan ke dalam saku seluar. WhatsApp tadi dibiarkan tidak berbalas.
Aku lupa yang aku sekarang ada dekat kampung.
Line internet dekat rumah aku memang tak mampu mengalahkan kelajuan seekor siput! Tak kiralah rangkaian mana sekalipun.
“Lambat!”
Muncung Ifa panjang sedepa sebaik sahaja nampak kelibat aku mendekati rumah mak long yang hanya bersebelahan dengan rumah aku.
Aku hanya sengih tanpa menjawab. Bukan aku yang lambat, dia yang awal sangat. Tak sabar nak bergosip la tu.
“Paan mana?” Aku duduk di atas pangkin rumah mak long, bersebelahan dengan Ifa yang sibuk bermain dengan anak Kak Husna.
“Tadi nampak dia pergi balaisah.”
Aku mengangguk. Balaisah atau surau kecil yang diperbuat daripada kayu itu terletak bersebelahan dengan rumah Ifa. Jadi kalau orang keluar masuk tu memang dia boleh nampak.
Kalau Paan dekat balaisah, mungkin lepas Isyak baru dia datang. Macam biasa.
Aku membuang pandang ke dalam rumah mak long yang penuh dengan cucu-cucunya yang berlari ke sana dan kemari.
Pintu rumah mak long sentiasa terbuka luas dan halaman rumah sentiasa terang benderang. Kalau waktu sepupu aku, Abang Falah dan Najid muda-muda dulu, selalu jugak dia bawa kawan lepak dekat sini. Tapi bila semua dah bekerja dekat KL sana, giliran aku pula yang isi tempat kosong ni.
Lagipun rumah mak long berada dengan tengah-tengah kampung. Dekat dengan beberapa rumah yang lain. Jadi kalau nak bersembang sampai malam pun, masih lagi selamat. Ramai yang memerhati.
“Haritu kau cakap awek Paan tu cemburu dengan kau, kan?”
Aku mengangguk tanpa memandang. Tiba-tiba pulak buka topik si Ana ni.
“Nak cemburu kenapa pulak budak tu? Kau dengan Paan kan dah lama kawan.” Ifa masih lagi dengan topik sama.
Aku angkat bahu. Dah bosan sebenarnya dengan topik tu. Dahlah Tri four five tu pun sibuk cakap aku ni orang ketiga.
“Senang-senang kau amik je si Paan tu. Kahwin dengan dia. Biar betul awek dia melopong. Dah alang-alang cemburu sangat, kan?”
Terus tercekik air liur aku mendengar cadangan langsung tak bernas daripada Ifa. Ada ke nak suruh aku rampas Paan daripada si Ana tu.
“Aku bukan orang ketiga la oi!” Aku ketuk bahu Ifa kuat.
Ifa mengaduh sakit. Automatik dia menggosok bahu yang aku tepuk tadi.
“Laa, siapa cakap kau orang ketiga pulak?”
“Siapa orang ketiga?”
Aku dan Ifa sama-sama berpaling ke arah suara yang menyampuk. Masing-masing senyum sumbing menyimpan rahsia. Paan berjalan mendekati tangga sambil menurunkan kopiah putih dari kepala.
“Hai Paan! Lamanya tak jumpa kau.” Ifa angkat tangan. Paan sengih selapis. Dia mengambil tempat sedikit jauh dari tempat duduk aku dan Ifa.
“Kau tu la. Dah nak kahwin baru nak ingat contact aku. Kalau tak, haram...”
Ifa mengekek ketawa.
“Alah, aku sibuklah. Aku ingat kerja kahwin ni senang, rupanya banyak sungguh benda nak kena buat. Sampaikan nak jemput bestfriend sendiri pun lupa.”
“Bestfriend amende kalau majlis besar macam ni pun kau boleh lupa aku.”
Ketawa kami bergabung. Riuh rendah pangkin mak long.
Aku berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah untuk membuat teh O sebelum Xiaomi Note aku riuh menyanyikan lagu Blank Space. Melihatkan nombor sama seperti di dalam WhatsApp tadi, kening aku terangkat tinggi. Perlahan-lahan aku menyambungkan talian.
“Kau betul-betul delete nombor aku ke? Hampeh sungguh.”
Belum sampai sesaat talian disambung, suara pemanggil memenuhi speaker. Ifa dan Paan sama-sama memandang aku yang masih diam dengan sebelah tangan pada telinga.
“Siapa ni?” Dahlah nombor tak kenal. Lepas tu nak marah-marah pulak. Ini pun kira nasib baik aku angkat. Selalunya memang aku tak angkat kalau nombor tak kenal. Biasalah, customer aku dulu memang ramai. Memang taklah aku nak layan telefon satu-satu.
Sebab itulah aku letakkan arahan ‘WhatsApp Only’ awal-awal.
“Na Ni... Na Ni.  banyak makan semut kau ni agaknya. Itulah, aku simpan nombor ni dalam contact handphone kau, kau delete.”
Aku terdiam. Suara macam kenal.
Oh!
“Ini akulah. Habib Fitri, kekasih semulajadi.” Dia ketawa di hujung talian.
Spontan aku mencebik. Kekasih semulajadi konon.
“Kejap.” Aku menurunkan telefon lari telinga.
“Aku buat air kejap. Korang sembanglah dulu.”
Ifa dan Paan memandang sesama sendiri. Aku terus masuk ke dalam rumah sebelum telinga menangkap soalan Ifa.
“Amboi, cakap telefon sembunyi-sembunyi, dia ada pakwe ke dekat sana?”
“Setahu aku tak ada. Itulah, aku pun pelik ni.” Paan terjenguk-jenguk mengintai.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Kan dah kena gosip! Si Tri ni ada apa pulak telefon aku malam-malam ni?
“Nak apa?” Xiaomi kembali diletakkan ke telinga.
“Kan dah cakap tadi, nak minta Facebook kau. Nak tag benda. Kau duduk dekat gua mana ni? Dari tadi aku nak call pakai WhatsApp tak dapat. Rugi je kena telefon pakai kredit.”
Amboi, sedapnya bahasa. Siapa suruh dia telefon aku entah.
“Gua yang awak cakap tu, kampung saya Encik Tri four five oi. Dan satu lagi, rasanya saya tak suruh pun awak telefon, kan? Nak bising kredit habis kenapa?”
Dia ketawa lepas dari hujung talian. Aku tahu dia bergurau aje pasal kredit.
“La... dekat kampung ke ni? Sorry.” Ketawa dia masih bersisa. “Manalah aku nak tahu line dekat kampung kau semput macam ni.”
Mengata la tu. Tahulah rumah dia dekat bandar.
“Nanti saya balik Shah Alam lah saya kasi Facebook. Nak bagi sekarang pun, bukannya boleh buka Facebook. Tak larat nak tunggu loading berjam-jam.”
“Orait then.”
“Nak tag apa?” soal aku, membuka kembali topik yang hampir tamat bila mendengar nada kecewa dia.
“I’ve fixed something. Not much. But I hope benda tu boleh buat nama kedai kau bersih balik.” Dia menjawab senada.
Aku gigit bibir sendiri. Rasa bersalah mula merajai. Beria-ia aku marah dia, rupanya dia dah tolong aku.
Apalah kau ni Nani.
Thank you.”
“Pleasure. Kan aku dah cakap yang aku tak ada kerja.”
Aku senyum sendiri. “Nanti saya WhatsApp nama Facebook.”
“Bukan ke dekat sana tak ada line?”
“Ada je sebenarnya. Tapi kena gaduh dengan siput dululah.”
“Meaning?”
Hish, tak faham pulak lawak aku.
“Ada je. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.”
“Oh, so yang tadi tu ‘seribu dalih’ la ye?”
Aku ketawa perlahan. Matila kalau Ifa dengan Paan nampak aku bergelak ketawa macam ni.
“Sort of.”
“So, kenapa sekarang ‘seribu daya’ pulak?”
Aku mati kata. Terjerat dengan kata-kata sendiri. Apa alasan aku nak bagi ni?
“Na Ni?”
“No reason.” Laju aku menjawab. “I’ll WhatsApp you later. Bye.”  Aaaa. Kenapa rasa panas pulak muka ni?



Tahun Akhir Diploma

han_nani : Hai pakcik! Lama tak online.
M_K: Pakcik dekat kampung minggu lepas, budak.
han_nani: Dekat kampung tak ada internet? Samalah dengan saya. Kalau balik
kampung memang langsung tak boleh nak online. Nak kena pergi bandar baru okay.
M_K: Sebenarnya ada je line dekat kampung pakcik ni. Tapi kena panjat pokok kelapa dulu.
M_K: Elok jugak internet dekat kampung tak ada. Kalau tak sampai
bila-bila tak pandang muka mak ayah. Dekat uni pun mengadap laptop. Dekat kampung pun mengadap laptop, telefon, bila masanya nak bersembang dengan family.
M_K: Tahu tak yang pandang muka mak dengan ayah pun dapat pahala?



No comments: