Memori Tri + Nani [Bab 23]




[Bab 23]


AKU BANGUN keesokan harinya dengan keadaan lenguh satu badan. Mungkin sebab aku terkejut ataupun sebab hentakan semalam.
Nasib baiklah tak demam. Aku ni bukan boleh kira sangat. Terkejut sikit, demam. Entah bila antibodi nak kuat entah.
Lutut terasa sengal sebaik saja aku turunkan kaki dari katil. Lupa pulak yang lutut aku cedera parah (parahlah bagi aku. Lama tak luka oi.). Nampaknya kena solat duduk aje ni.
Nafas ditarik lama sebelum aku bingkas dari katil untuk ke bilik air. Subuh dah nak habis. Hari pun dah nak cerah.
Siap berwudhuk, aku keluar dari bilik air dengan beribu kepayahan. Lutut berbalut. Luka pada siku pulak pedih terkena air. Berkerut-kerut dahi aku tahan sakit.
“Kau kenapa?”
Aku angkat kepala, memandang Sirah yang berdiri tegak di depan pintu bilik dia dengan rambut yang tidak terurus sambil menggosok-gosok mata sendiri. Baru bangun agaknya.
“Jatuh moto.” Seringkas soalan dia, ringkas juga aku menjawab. Kekok sebenarnya. Jarang kami bercakap sejak masuk semester baru ni. Semua sebab salah faham yang dibawa Mila tu.
“Oh...” Itu aje yang terluah dari mulut dia. Aku terus masuk ke dalam bilik bila dia masuk ke dalam bilik air.
Aku solat Subuh dalam keadaan duduk dek luka pada lutut yang masih mencengkam. Selesai berdoa, aku sempat termenung di atas sejadah. Tangan kanan mula menggosok tempat luka yang ditutupi kapas yang aku bawa balik dari Iris Cake House semalam. Tri yang suruh aku bawa balik satu kotak First Aid tu.
Automatik mata terarah pada kotak putih yang aku letak bawah katil semalam. Aku melepas nafas perlahan.
Saat semua macam dah tak pedulikan aku, Tri yang baru aku kenal itulah yang setia di sisi. Yang tak hukum aku dengan khabar angin.
Yang tak ambil tahu apa orang kata pasal aku selagi dia tak nampak sendiri.
Aku bangkit dari tikar sejadah sebelum melipat telekung. Oleh sebab hari semalam aku tak pergi klinik, aku tak ada MC. Jadi terpaksalah aku ke kuliah juga pagi ni.
Lagipun harini ada kuiz. Kalau aku tak datang, memang rosaklah carrymarks aku.


MASUK JE ke dalam dewan kuliah, mata Paan terus jatuh pada kaki aku. Walaupun luarannya macam biasa, tapi cara aku berjalan tahan kesakitan jelas kelihatan. Aku terus duduk di kerusi paling depan, jauh dari dia yang duduk di tempat biasa kami.
Aku saja buat-buat tak faham pandangan dia. Bukan aku nak protes ke apa, tapi memang tak larat nak naik sampai meja paling atas.
Sudahnya, dua jam kuliah Dr. Mahmud, aku diam je di kerusi. Kuiz pun aku tak dapat jawab semua.
Habis kelas, Sofia tarik aku ke perpustakaan. Nak cari rujukan untuk final year project kami nanti katanya. Tanpa banyak soal, aku ikut aje. Sampai depan perpustakaan, aku nampak Paan berjalan laju mendekati aku dan Sofia.
“Nani!” Tak sempat pun kaki aku melangkah ke dalam perpustakaan bila Paan selamba bomba menjerit dari jauh. Mata-mata pelajar yang ada berkeliaran berhampiran perpustaan turut berpaling.
Semua bernama ‘Nani’ agaknya.
“Apa?” Langkah aku terhenti di muka pintu perpustakaan. Sofia pulak dah menyelinap masuk terus ke tingkat atas.
“Kaki kau tu kenapa?” Sekali lagi pandangan dia jatuh pada kaki aku.
“Accident.”
“Hah? Bila? Aku tak tahu pun!?”
Aku menjauhi pintu library bila suara Paan menganggu beberapa orang dekat dalam tu. “Hish, perlahan lah sikit suara tu.” Paan ni pun, tahu tak yang library ni sinonim dengan senyap? “Aku call kau. Tapi...”
“Tapi Ana yang angkat, kan? Lepas tu aku call balik tapi kau tak angkat pun. Manalah aku tahu kau accident!”
Aku diam. Bila Ana yang angkat, terus aku rasa yang aku tak perlu nak ganggu Paan lagi dah.
Dia dah ada hidup sendiri.
“Langgar apa? Teruk tak?” Dia mengekor aku dari belakang. Terhinjut-hinjut aku berjalan untuk ke tempat sedikit jauh dari pintu perpustakaan.
“Petang semalam balik dari jumpa kau tu. Sikit je. Lutut dengan siku je luka.”
“Kenapa tak bagitahu? Kau pergi klinik tak? Macam mana boleh jadi ni?” Berbakul-bakul soalan dari Paan. Lama aku tak nampak muka risau Paan macam ni. Kali terakhir aku nampak bila...
“Mesti kau terkejut, kan? kau demam tak? Selalu kalau kau terkejut kau demam. Macam kau jatuh waktu mula-mula belajar motosikal dulu tu.”
...aku jatuh dari motosikal Paan waktu darjah lima.
“Nak aku belikan ubat demam tak? Kau naik kereta aku ajelah lepas ni. Rehatkan dulu moto kau tu.”
Aku lepas nafas perlahan sambil senyum nipis. Tak sangka dia ingat lagi waktu aku mula-mula belajar moto dulu. Dia yang beriya-iya nak ajar aku naik motosikal. Dahlah guna motosikal abah dia. Lepastu boleh pulak aku jatuhkan moto dalam sawah padi!
Dengan aku sekali mandi lumpur.
“La... kau senyum kenapa?”
Aku sengih sendiri. Kerutan di dahi Paan dah berkurang.
“Aku teringat waktu jatuh dalam bendang dulu.”
Automatik Paan ketawa. Tak kuat, tapi cukup membuatkan lesung pipit dia terserlah.
“Seminggu jugak aku tak dapat naik motosikal masa tu, tahu tak?” Dia sengih. “Kau demam tak ni?”
Aku geleng perlahan. “Tak. Lenguh je. Terkejut kot.”
“Lepas ni naik kereta aku je nak pergi kelas.” Bukan soalan, tapi arahan. “Dah, pergilah masuk sana.”
“Tak payahlah. Skuter aku tu okay je.”
“Takde. Takde. Kalau kau tak nak naik, aku bagitahu mak kau yang kau jatuh moto. Biar dia suruh kau naik dengan aku je sampai habis semester ni.”
“Tak baik la kau ni main ugut-ugut pulak.” Aku tarik muka empat belas. Tahulah dia tu ‘anak’ kesayangan mak aku.
Paan ketawa kuat. Tahu sangat yang aku tak suka nak risaukan mak aku kalau aku sakit ke apa. Nak-nak mak memang tak berkenan aku naik moto. Dan, nasib baiklah skuter aku tu aku boleh duduk dengan sopan santunnya gaya gadis melayu terakhir.
Sejuk jugak hati dia.
“Yelah-yelah.Tapi sampai luka aku okay je.”
Dia tersenyum kemenangan.
“Tapi kau kena bagitahu Ana dulu. Nanti dia salah faham.” Itu yang aku risaukan sebenarnya.
“Alah, Ana okay la. Kau tu yang takut sangat.”
Iyalah Paan. Tunang kau, kan? Memanglah semua okay.
“Kau tak menyesal bagi offer ni kat aku?”
“Nak menyesal apanya.”
“Kalau kau gaduh dengan Ana pasal aku aku taknak tanggung. Kau settle lah sendiri.”
“Ei kau ni...” Paan kacip gigi, geram.
Nasib baik tak ada apa-apa dekat tangan dia sekarang. Kalau tak, memang aku boleh jamin yang benda tu akan selamat melayang ke atas kepala aku.
“Aku cakap dia tu okay, okaylah. Kau tu jangan nak berprasangka sangat, boleh? Cubalah hidup dengan cas positif. Barulah hidup ni kau rasa aman je.” Tudia. Paan dan mula ceramah dia.
“Iyalah wahai Farhan.”
Good girl.”
Aku cebik selebar mungkin. Rasa dia menanglah tu. “Dah, aku nak masuk library. Sebabkan equipment kitorang tak sampai lagi, research project aku dah tertangguh banyak.”
“Tak mula experiment lagi?”
Aku geleng. “Tunggu reactor sampai.”
“Bila sampai tu?”
“Tak tahu lagi. Haraplah tak lama. Aku tak nak extend.”
Aku nampak Paan senyum nipis sebelum menjawab, “Takut apanya dengan extend. Kalau tu boleh buat result kau elok, tak salah pun.”
“Nanti orang cakap aku bodoh sebab tak graduate lagi.”
“Orang sampai bila-bila pun akan bercakap, Nani. Kau buat kerja kau je. Pedulikan anasir-anasir jahat. Ingat, sentiasa positif minda positif dalam kehidupan.” Dia dah buat gaya penceramah motivasi.
Aku geleng kepala. Tak habis-habis dengan positif dia.
“Minggu depan test, nak belajar sama tak?” soal dia tiba-tiba.
Aku lebarkan sengihan. Mestilah aku... “Nak!”
“Bila kau free?”
Aku ni kalau bab-bab nak belajar dengan kau memang sentiasa free wahai Paan. “Aku ikut kau je.”
“Esok, nak? Petang sikit.”
“Boleh.”
“Okay. Tomorrow then. Dekat cafe pakwe kau.” Dia simpan sengih.
Pakwe mana pulak nih?”
“Eleh, abang cafe tu kemain romantik. Sampai hati kau lupakan dia.”
Cebikan aku melebar. “Dia bukan pakwe aku lah!”
“Dah tu, haritu?”
“Kan berlakon je depan Ana.”
Paan senyum. “Kau je yang berlakon. Aku rasa abang cafe tu tak berlakon pun. Aku nampak sungguh-sungguh yang dia suka kau. Tak perasan ke?”
Maunya aku tak perasan Paan oi. Hampir hari-hari dia karang ayat manis. If you love me let me know la. Nak dulang hantaran la.
“Kira jadi ajelah, Nani. Nak jual mahal sangat kenapa.”
“Aku bukan jual mahallah.”
“Dah tu?”
Aku diam. Tak tahu apa sebenarnya masalah aku. Mungkin aku masih ragu-ragu dengan perasaan sebenar Tri tu. Iyalah, baru saja kenal dah cakap suka aku. kalau dia main-main macam mana? Kalau dia tak serius, macam mana?
“Em, sebab aku tak rasa yang aku nak kan dia, boleh?”
Paan ketawa bila dengar jawapan aku. “Kau ni, tahu tak bertuahnya kita kalau ada orang nakkan kita? Bertuah, tahu tak? Dalam dunia ni jarang sangat nak dapat yang kau suka aku, aku pun suka kau. Semua slow-slow. Dah kenal rapat, baru tahu yang kau suka je dia sebenarnya. Kalau nak tunggu yang kau suka tu suka balik dekat kau memang payahlah.”
Aku cipta senyum. Pahit. Memang payah. Macam aku suka kau, tapi kau suka Ana.
Dan, bertuah ke aku bila Tri suka aku?
“Kita muda sekejap je, Nani. Kalau tak cari sekarang, lama-lama semua orang baya kita dah kahwin dan dan ada pasangan masing-masing. Bila semua orang dah kahwin nanti, takkanlah kau nak jadi wife kedua aku?” Paan tayang gigi.
“Bodohlah kau ni.”
“Bahasa...”
Sorry.” Aku tayang gigi. Tapi memang bodohlah pertanyaan Paan tadi.  “Kau tu la. Ada ke isteri kedua. Ingat aku hingin sangat ke?”
“Manalah tahu kalau Ana setuju nak payung emas dan kalau kau sudi, aku tak kisah.” Sengihan dia makin lebar.
“Kau jangan melalut sampai ke payung emas boleh tak? Kahwin pun belum lagi.”
Automatik dia ketawa.
“Daripada jadi isteri kedua kau, baiklah aku kahwin dengan abang cafe tu.”
“Ha... that’s what I’m talking about.” Paan senyum nipis. “Jangan jual mahal lama sangat, ya? Ini nasihat orang yang dah bertunang.” Dia kenyit mata.
Tak habis-habis nak eksyen yang dia dah ada tunang.
“Hidup kita ni kalau bab jodoh macam kau jalan dekat taman bunga yang luas. Kau dah jumpa yang cantik, tapi kau nak yang lagi sempurna. Jadi kau jalan makin kedepan dan kedepan. Tapi bila kau sedar kat depan tu dah tak ada yang lagi cantik dari yang awal tadi, kau patah balik.” Paan berubah serius. “Tapi kau terlambat bila bunga yang kau nampak cantik awal tadi dah tak ada. Dah ada orang petik.”
Aku diam, menghadam cerita Paan.
“Masa tu nak menyesal tak boleh dah.” Sambung dia lagi.
“Jadi maksud kau, bila dah jumpa bunga yang cantik, aku kena petik terus? Macam tu?”
“Maksud aku, abang cafe tu dah sukakan kau, kau terima ajelah.” Dia angkat kening berkali-kali.
“Nantilah aku fikir.”
“Kau ni kan, sia-sia je aku karang cerita panjang. Tak faham-faham jugak.”
Aku ketawa mengekek bila muka Paan mula berkerut tahan marah.
“Nanti-nantilah bincang pasal tu. Aku nak masuk library dah. Kesian Sofia lama tunggu aku dalam tu.”
“Okay. Nasib baik alasan kau boleh diterima.”
Aku tayang gigi. Perlahan-lahan aku kembali ke pintu perpustakaan.
“Esok petang. Dekat cafe pakwe kau ya. Jangan lupa.” Kuat pulak suara dia menjerit dari belakang. Dua tiga orang pelajar yang ada berhampiran mula memandang, curi dengar.
Aku nampak Paan sengih dari jauh.
Kalau aku baling sebelah kasut yang aku pakai ni agak-agak boleh putus kawan tak? Sengaja la tu. Dah cakap yang Tri tu bukan pakwe aku!



MESEJ YANG dihantar Paan aku baca sekali lalu.

‘Sorry Nani. Tak dapat nak belajar dengan kau petang ni. Ana ajak pergi SOGO beli barang hantaran pulak. Dia cakap sekarang SOGO tengah buat sale.’

Spontan keluhan keluar tanpa dipinta. Masuk ni dah berapa kali Paan cancel janji dia. Rasanya masuk semester ni hanya sekali dua aje Paan duduk semeja belajar dengan aku.
Boleh dikira dengan jari. Dan yang selebihnya, dia akan duduk dengan Ana. Yang haritu pun kira kebetulan je jumpa dekat perpustakaan. Kalau tak,  pergi fakulti Ana. Makan dengan Ana. Study dengan Ana (ya, walaupun course lain-lain).
Tapi apa aku nak kecohkan sangat. Dah memang dia dengan Ana tu pasangan darah manis.
Aku ni siapa? Orang ketiga je bak kata Tri. Heh.
Aku melepaskan nafas panjang. Xiaomi diletakkan ke tepi. Tak ada apa yang boleh aku buat. Aku hanya kena terima kenyataan yang sekarang ni Paan dah jadi milik Ana.
Abaikan ajelah Nani, yang penting kau kena habiskan semester ni dengan jayanya.
Sale...
Senyuman senget tercipta tanpa sedar.
SOGO tu hari-hari pun ada sale.
Aku keluarkan buku-buku rujukan dan laptop dari beg.
 “Bangun pagi sebelum ke sekolah,” Bibir aku menyanyi perlahan. Inilah padahnya bila dengar lagu subuh-subuh adam. Memang sampai petanglah akan terngiang-ngiang dekat kepala.
Walaupun hanya lagu iklan!
Buku Plant Design And Economics yang tebal itu diletakkan ke atas meja. Beberapa kertas kajang dikeluarkan.
Nasiblah kau Nani, nak ambil sangat engineering, kan?
 “Sarapan dengan mentega kacang Sunbear” Mulut masih menyanyi kecil. Patutlah kajian ada bagitahu yang belajar selepas subuh sangat berkesan. Sebab masa tu otak tengah fresh untuk terima input baru.
Katanyalah.
“Sunbear sedap dan berkhasiat, dibuat kacang bermutu.”
“Ceria.. dan bertenaga...”
Aku angkat kepala. Tri tersengih dengan apron di badan.
“Sepanjang hari di mana saja.” sambung dia lagi.
“Sibuk!” komen aku sepatah. Tri tergelak kecil. Apron dibawa melepasi kepala dan diletakkan ke atas meja. Walaupun Tri duduk di kerusi hadapan, bau kek yang dibakar dapat dihidu dari tempat duduk aku. “Buat congo bars?”
Dia angguk perlahan. “Yup. Nak?”
“Kalau kena bayar, saya tak nak.”
“Untung la macam tu.”
Ketawa kami bergabung.
“Buat apa tu?” Dia terjenguk-jenguk ke arah buku dan kertas kajang yang masih kosong di hadapan aku.
“Hmm, ingat nak belajar dan fahamkan process flow diagram untuk distillation column ni...” ayat aku terhenti disitu.
Tapi Paan tak ada pulak.
“Nak belajar dengan siapa?”
“Sendirilah.” Laju aku menjawab. Kalau Tri tahu aku tunggu Paan, maunya bab Orang Ketiga keluar lagi.
“Macam senang je tu.” Dia senyum meleret sambil mencuri pandang buku rujukan aku. Segala jenis process flow terpapar di dada buku.
Senang dia cakap? Aku sendiri pun masih pening dan keliru tentang cara yang betul untuk buat process flow diagram walaupun dah banyak kali lecturer ajar dalam kelas.
Biasalah. Dalam kelas tu, aku bukannya ambil perhatian sangat. Jadi sekarang baru nak menyesal walaupun aku tahu, menyesal sekarang memang tak ada guna dah.
“Nampak je senang, tapi awak apa tahu?” Aku menutup rapat buku yang terbuka. “Pergi bakar kek sana. Kacau je.”
“La... nak tahu pun tak boleh?”
Laju je aku mencebik. “Malas nak terangkan, karang sampai esok lusa pun tak faham.”
Tri sengih. “Iyalah, aku tahu la yang aku ni ni baker cabuk aje.”
“Tahupun. Dahlah tau buat congo bars je, kek lain tak tahu buat.” Aku tahan gelak.
“Kurang asamlah tu, mengutuk.” Dia pun nak gelak sama. “Menyesal aku bagitahu rahsia hari tu.”
Ketawa aku terlepas juga. “Kau tak try buat brownies ke, kek span ke. Kan ke brownies tu cara dia lebih kurang je?”
“Tak pernah.”
“Kenapa tak pernah try?”
“Suka hati akulah nak buat kek apa.”
Bulat mata aku dengar jawapan dia. “Kerek pulak! Potong markah baru tahu.”
“Markah apa?”
“Emm, markah untuk jadi calon suamilah. Kalau dah begini gayanya, nak cecah 9/100 markah pun susah tahu tak? Kerek!”
“Oh. Thank you for considering me, then.” Dia senyum penuh makna.
Aku gigit bibir. Terjerat dengan kata-kata sendiri. “Pergi sanalah. Saya sibuk.”
Tri bangun dari kerusi dengan ketawa yang masih belum padam. Kelibatnya hilang sebaik sahaja masuk ke dalam bahagian dapur. Tak sampai lima minit, cafe mula dipenuhi dengan lagu-lagu rock kapak 90-an. Laju aku menggeleng.
Kali ini aku terpaksa dengar jugak semua lagu yang dipasang, lupa nak bawa headphone.
Tak lama pun aku dekat situ. Hampir dua jam dalam dunia sendiri, aku menutup buku dan menyimpan kertas yang berselerakan.
Kesemuanya disumbat ke dalam beg sandang.
Baru saja aku berkira-kira untuk bangun dari meja, Tri muncul dari dapur. Bungkusan plastik yang dipegang dengan tangan kanan diangkat tinggi.
“Nah.”
Dahi aku berkerut meneliti isi plastik. Nampak macam...
“Buat bekal belajar malam ni.” kata dia dengan sengihan.
... congo bars.
Dan bibir aku spontan menarik senyum.




Tahun Akhir Diploma

Han_nani:kenapa pakcik suka dengar lagu rock kapak eh?
M_K:kenapa budak suka lagu KPOP eh?
Han_nani: hish, orang tanya dulu...
Han_nani: pakcik tak rasa jiwang sangat ke? Meleleh-leleh je lagu dia.
M_K: lagu rock 90-an lah best. Legend. Feel dia lain. KPOP tu apa...
M_K: dahlah nak sebut pun payah.
Han_nani:hah!mesti pakcik pernah try nyanyi lagu KPOP kan? itu yang tahu susah tu
M_K:tak payah imagine benda pelik-peliklah budak. Dari pakcik gigih cuba nyanyi lagu kpop ada baiknya pakcik try baca quran. Payah macam mana pun, bila try baca dapat jugak pahala. Kpop tu apa ada?


Comments